Salasilah Diraja - Raja Perlis Keempat

Raja Perlis Keempat :
Syed Alwi Jamalullail (1905-1943)

Raja Syed Alwi Jamalullail adalah putera Raja Syed Safi Jamalullail dengan Che Wan Saadiah. Nama asal Che Wan Saadiah adalah Michu yang merupakan anak keluarga Perdana Menteri Kerajaan Siam yang digelar Kelahom. Pada awalnya, baginda masih mengekalkan perkhidmatan pembesar-pembesar lantikan ayahanda baginda seperti Syed Salim al-Jafri, Syed Hassan Ibni Syed Alwi, Dato’ Wan Teh bin Dato’ Arau, Tengku Abdullah bin Tengku Mat Saman, Syed Abdullah Ibni Syed Alwi, Syed Abdullah Ibni Syed Ismail, Haji Kassim bin Haji Ali dan Wan Ishak bin Dato’ Wan Daud. Baginda turut melantik adinda baginda yang berlainan bonda, Syed Mahmud Ibni Syed Safi Jamalullail sebagai Raja Muda Perlis.

10ikon 5smallZaman pemerintahan Baginda menyaksikan Kerajaan Perlis mengalami kemerosotan sumber kewangan. Baginda memutuskan untuk meminjam wang berjumlah 230,000.00 ringgit daripada Kerajaan Siam. Hasrat ini dimeterai menerusi Perjanjian Hutang Perlis-Siam pada 4 Oktober 1905. Antara syarat-syarat perjanjian ini ialah Kerajaan Perlis mesti menerima seorang Penasihat Kewangan untuk ditempatkan di Perlis. Oleh itu, seorang pegawai British bernama A.H. Duke telah dihantar oleh Kerajaan Siam sebagai Penasihat Kewangan kepada Kerajaan Perlis. Krisis kewangan negeri nampaknya belum berakhir walaupun Kerajaan Perlis telah meminjam wang daripada Kerajaan Siam. Pinjaman tambahan sejumlah 150,000.00 ringgit lagi telah dimohon oleh Kerajaan Perlis dan diluluskan oleh Kerajaan Siam. Maka Perjanjian Hutang Perlis-Siam Kedua telah ditandatangani pada 25 Februari 1907.

Perlis State Council atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis juga telah ditubuhkan pada masa ini di mana baginda sendiri menjadi Pengerusi. Penasihat Kewangan British bertindak sebagai Setiausaha Majlis. Beberapa orang pembesar negeri turut dilantik menganggotainya. Mesyuarat kali pertama Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis telah diadakan pada 18 November 1905. Walau bagaimanapun keahlian majlis ini seterusnya silih berganti selaras dengan perubahan masa dan keperluan.

Pada 10 Mac 1909, Perjanjian Bangkok telah ditandatangani di antara Kerajaan British dengan Kerajaan Siam. Melalui perjanjian ini, Negeri Perlis bersama-sama Kedah, Kelantan dan Terengganu telah diserahkan oleh Kerajaan Siam kepada Kerajaan British. Semenjak itu, Kerajaan Perlis mula dinaungi secara tidak rasmi oleh British dan tidak lagi berada di bawah naungan Siam. Selepas Perjanjian Bangkok 1909, baki hutang Kerajaan Perlis kepada Kerajaan Siam telah ditanggung oleh Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor). Perjanjian Bangkok 1909 memberi kuasa kepada British untuk menghantar Pegawai Penasihat untuk menasihati Raja Syed Alwi Jamalullail dalam semua urusan kecuali berkenaan Agama Islam dan adat istiadat Melayu. Penasihat British pertama yang dihantar ke Perlis adalah Meadow Frost yang mula berkhidmat pada 15 Julai 1909. Penasihat-penasihat British lain yang pernah berkhidmat di Negeri Perlis adalah J.G Richey, H.C Eckhardt, E.W.N Wyatt, T.W Clayton, J.W.W Hughes, P.S Williams, L.A Allen, M.C Hay, O.E Venables, C.R Howitt, C.W Dawson dan E.V.G Day. Cavendish dan C.M Laidlaw pula pernah memegang jawatan Pemangku Penasihat British Perlis. Sementara itu, secara ansuran Kerajaan Perlis membayar balik wang yang ditampung oleh Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu sehingga selesai pada tahun 1929. Setelah selesai urusan pembayaran hutang, baharulah Kerajaan British bersetuju menaungi Negeri Perlis secara rasmi. Justeru pada 28 April 1930, Perjanjian Perlis-British telah ditandatangani bagi menzahirkan tujuan ini.

Garis sempadan Negeri Perlis yang terpakai hingga ke hari ini juga telah dimuktamadkan semasa zaman pemerintahan Raja Syed Alwi Jamalullail. Hasil proses penyukatan dan penandaan sempadan Perlis dengan Setul, Kerajaan Perlis telah kehilangan kawasan Puju yang dimasukkan ke dalam wilayah Setul, Thailand. Sebelumnya, Puju ditadbir oleh Kerajaan Perlis melalui Penghulu Kuala Perlis. Selain itu, sempadan baru Perlis-Kedah pula dimuktamadkan dengan kerja-kerja pengukuran sempadan pada tahun 1913.

Baginda telah menambahkan usaha permodenan pentadbiran Negeri Perlis dengan menubuh dan menaik taraf Agensi Kerajaan Negeri seperti Pejabat Raja dan Penasihat, Pejabat Audit, Pejabat Hasil dan Cukai, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rendah, Mahkamah Kadi, Balai Polis, Perbendaharaan Negeri, Pejabat Tanah, Pejabat Pelajaran, Penjara dan lain-lain. Kerja-kerja penurapan Jalan Kangar-Arau dan Jalan Kangar-Tasoh serta pengwujudan perkhidmatan keretapi yang menghubungkan Perlis dengan Siam dan juga dengan negeri-negeri lain di Tanah Melayu pada tahun 1916 merupakan antara inisiatif baginda untuk membangunkan Perlis. Demikian juga permulaan bekalan air paip sekitar Bandar Kangar, Jawatankuasa Pelajaran, Syarikat Kerjasama atau Koperasi, Sanitary Board atau Lembaga Kebersihan, Sistem Pungutan Zakat dan Fitrah, Pameran Pertanian Negeri, Pasukan Pengakap serta Perlis Volunteer Force diwujudkan pada zaman pemerintahan baginda. Mercu tanda bersejarah Negeri Perlis yang masih kekal sehingga hari ini antaranya Masjid Alwi, Ibu Pejabat Kerajaan Negeri Perlis (bangunan menara jam), al-Madrasah al-Alawiyyah al-Diniyyah dan Istana Arau juga dibina di zaman Raja Syed Alwi Jamalullail.

Molek juga dinyatakan bahawa Raja Syed Alwi Jamalullail merupakan Raja Perlis yang terakhir mempersembahkan ufti Bunga Emas kepada Raja Siam. Baginda juga merupakan satu-satunya Raja Perlis yang mempersembahkan ufti Bunga Emas kepada Raja England. Beberapa pingat kebesaran seperi C.B.E, C.M.G dan K.B.E telah dianugerahkan oleh Kerajaan British kepada baginda. Disebabkan baginda tidak memiliki zuriat, Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis yang bersidang pada 6 Disember 1934 telah berbincang dan bersetuju mengangkat anakanda saudara baginda iaitu Syed Hassan Ibni Syed Mahmud Ibni Syed Safi Jamalullail sebagai Bakal Raja Perlis. Apabila Syed Hassan mangkat pada 18 Ogos 1935, Perlis telah kehilangan Bakal Rajanya. Lantaran itu, Majlis yang bersidang pada 30 April 1938 telah bermuafakat untuk mengangkat anakanda Syed Hassan yang bernama Syed Putra sebagai Bakal Raja Perlis.
Pada 12 Disember 1941, tentera Jepun telah memasuki Negeri Perlis diketuai oleh Kapten E. Hirota. Memandangkan ketika itu Raja Syed Alwi Jamalullail berada di luar Negeri Perlis, Kapten E. Hirota telah mengarahkan Syed Hamzah menubuhkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang dinaungi oleh Kerajaan Militari Jepun. Dalam Majlis ini, Syed Hamzah bertindak sebagai Presiden. Apabila Raja Syed Alwi Jamalullail berangkat balik ke Perlis, baginda mengambil kembali jawatan Presiden Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis. Syed Hamzah pula kembali ke kedudukan Naib Presiden. Dengan sokongan Kerajaan Jepun, perisytiharan melucutkan kedudukan Syed Putra Ibni Syed Hassan sebagai Bakal Raja Perlis telah dikeluarkan pada 11 Januari 1942. Serentak dengan itu, perisytiharan yang sama memahsyurkan Syed Hamzah sebagai Bakal Raja Perlis yang baru. Dalam suasana kekalutan Negeri Perlis akibat Perang Dunia Kedua, Raja Syed Alwi Jamalullail mangkat pada 2 Februari 1943. Tidak seperti yang diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis, adinda seayahanda Raja Syed Alwi Jamalullail iaitu Syed Hamzah pula yang diangkat menjadi Raja Perlis oleh pihak berkuasa Jepun.

Kredit : Dr. Hazman bin Hassan
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)

Tags


Pihak Pentadbiran Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan menerusi maklumat yang diperolehi melalui laman web ini.
Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.

STATISTIK LAMAN WEB
Masa capaian : 0.5 saat

Tarikh Kemaskini :    10/10/2024 
Statistik Pelawat : ->

004259
Hari Ini: 110
Semalam: 59
Minggu Ini: 110
Minggu Lepas: 551
Bulan Ini: 1,421
Jumlah: 4,259