Image

KITAB SUCI AL-QURAN

Kitab suci Al-Quran merupakan Alat Kebesaran Diraja yang utama melambangkan pemerintahan raja beragama Islam. Kitab ini dibawa ke majlis istiadat hanya semasa Pertabalan DYMM Tuanku Raja. Di permulaan istiadat pertabalan, Al-Quran ini dengan penuh tertibnya dipersembahkan kepada DYMM Tuanku Raja yang kemudiannya baginda akan mengucup dan meletakkannya di atas rehal di meja khas istiadat di atas singgahsana. Al-Quran ini akan berada di tempat khas itu sepanjang istiadat pertabalan berlangsung dan dibawa keluar hanya setelah semua atur cara istiadat selesai.

REHAL

Rehal merupakan salah satu alat yang turut digunakan semasa Pertabalan DYMM Tuanku Raja Perlis yang ke VII pada 7 Mei 2001. Rehal ini buat pertama kalinya diletak di meja khas istiadat di atas singgahsana di mana kitab suci Al-Quran yang merupakan salah satu Alat Kebesaran Diraja yang utama sebagai lambang seorang raja beragama Islam diletakkan di atas rehal ini. Ianya disenaraikan sebagai sebahagian daripada Peralatan Istiadat Rasmi Diraja dan dikeluarkan untuk digunakan hanya semasa Istiadat Pertabalan DYMM Tuanku Raja.

Image

TEPAK SIRIH

Tepak Sirih digunakan dalam Adat Isitiadat Perkahwinan Diraja. Ianya terdiri daripada 2 bekas sirih, pinang, kapur dan gambir yang diperbuat daripada perak.

GENDIK DIRAJA

Gendik Diraja juga merupakan sebahagian daripada Alat Kebesaran Diraja. Ianya diperbuat daripada emas putih bertakhtakan batu permata berlian dengan reka bentuk separuh mahkota dengan tangkai padi yang merupakan hasil utama Negeri Perlis sebagai unsur lakarannya. Gendik Diraja ini dipakai oleh DYMM Tuanku Raja Perempuan dalam semua istiadat rasmi.

KERIS PENDEK DIRAJA

Keris Pendek Diraja (keris sisip) merupakan keris pusaka yang diwarisi sejak zaman pemerintahan Almarhum Raja Syed Alwi. Mata keris ini diperbuat daripada besi yang dikumpul daripada beberapa daerah dalam negeri dan luar negeri, terdiri daripada logam waja bermutu tinggi. Hulu keris, sampir dan sarungnya diperbuat daripada gading jenis terbaik dan diperhalus berkilat. Hulu keris diukir dengan ukiran melambangkan kedaulatan dan kebesaran seorang raja pemerintah, manakala sarung dan pendukuhnya pula diukirkan dengan ukiran seni halus tamadun Islam berwarna keemasan dengan hujungnya berbentuk mampan berbingkai. Keris ini merupakan KERIS KEBESARAN KUASA dan dikeluarkan hanya untuk Istiadat Pemasyhuran Seorang Raja Pemerintah.

Image

KERIS KUASA RAJA PEMERINTAH

Keris berukuran 22 inci ini yang melambangkan 22 buah mukim dalam Negeri Perlis merupakan KERIS KUASA RAJA PEMERINTAH. Keris mata sepukal ini diperbuat daripada logam waja bermutu tinggi. Hulu keris, sampir serta sarungnya diperbuat daripada kayu kemuning bukit bersalut emas merah diukirkan penuh rapi melambagkan kedaulatan serta kuasa seorang raja pemerintah, manakala ukiran halus disarungnya pula bersenikan permata melambangkan Raja Yang ke VII dan dipenghujung sarungnya berlitup emas. Lambang negeri Perlis telah dimeterai di permukaan sampirnya. Keris ini telah dipersembahkan oleh YB Dato’ Seri Shahidan bin Kassim, mantan Menteri Besar, Perlis di istiadat Pertabalan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamallullail, Raja Perlis ke VII pada Mei 2001 sebagai keris persembahan rakyat dengan ikat nama KERIS RAKYAT TONGGAK DIRAJA.

PEDANG KEBESARAN DIRAJA

Pedang Kebesaran Diraja merupakan pedang pusaka yang diwarisi daripada Raja Pattani (nenda DYMM Tengku Budriah binti Almarhum Tengku Ismail, Raja Perempuan Perlis) (1949-2000) yang disimpan sebagai khazanah negeri dan dikeluarkan untuk kegunaan hanya istiadat pertabalan DYMM Tuanku Raja. Mata pedang ini adalah mata yang asal. Bagaimanapun sarung dan pangkal yang bertakhtakan emas telah dibaikpulih sempena Pertabalan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis ke ke VII pada 7 Mei 2001.

Image
Image

KERIS KUASA RAJA MUDA

Pedang merupakan satu peralatan yang matanya diperbuat daripada besi waja berbentuk panjang, lentik dan hujungnya tajam. Pangkal dan sarungnya diperbuat daripada kayu ternama, di varnis berkilat dan diukir halus dan penuh simbolik melambangkan keagungan dan kebesaran istana. Sarung pedangnya ini diperkemaskan lagi dengan lilitan pergelangan perak bertakhtakan emas hingga ke hujungnya bertutup. Sepertimana peralatan istiadat yang lain, pedang ini juga disandang oleh dua orang penjawat berpakaian penuh istiadat dan dikeluarkan untuk kegunaan di istana hanya semasa keberangkatan masuk DYMM Tuanku Raja ke Balairung Seri dan semasa Baginda berangkat meninggalkan Balairung Seri setelah selesainya istiadat rasmi.

SEPASANG PEDANG ISTIADAT

Pedang merupakan satu peralatan yang matanya diperbuat daripada besi waja berbentuk panjang, lentik dan hujungnya tajam. Pangkal dan sarungnya diperbuat daripada kayu ternama, di varnis berkilat dan diukir halus dan penuh simbolik melambangkan keagungan dan kebesaran istana. Sarung pedangnya ini diperkemaskan lagi dengan lilitan pergelangan perak bertakhtakan emas hingga ke hujungnya bertutup. Sepertimana peralatan istiadat yang lain, pedang ini juga disandang oleh dua orang penjawat berpakaian penuh istiadat dan dikeluarkan untuk kegunaan di istana hanya semasa keberangkatan masuk DYMM Tuanku Raja ke Balairung Seri dan semasa Baginda berangkat meninggalkan Balairung Seri setelah selesainya istiadat rasmi.

SEPASANG KERIS PANJANG

Keris panjang merupakan sejenis alat bermata besi tajam dan panjang. Hulu dan sarungnya diperbuat daripada kayu jenis ternama dan di varnis berkilat serta diukir penuh simbolik bagi melambangkan keunggulan dan kebesaran istana. Sarungnya juga dililitkan dengan pergelangan perak bertakhtakan emas hingga ke hujungnya berlitup. Keris panjang ini disandang oleh dua orang penjawat berpakaian lengkap istiadat dan dikeluarkan untuk kegunaan hanya semasa keberangkatan masuk DYMM Tuanku Raja ke Balairung Seri dan semasa keberangkatan Baginda meninggal balairong seri setelah selesai istiadat rasmi.

JATA DIRAJA

Jata Diraja merupakan sebahagian daripada alat kebesaran Diraja. Ianya diperbuat daripada emas putih dengan rekabentuk lambang Negeri Perlis. Jata Diraja ini diletakkan di bahagian hadapan Tengkolok Diraja dan dipakai oleh DYMM Tuanku Raja semasa Baginda berpakaian penuh istiadat dalam semua Istiadat Rasmi.

TENGKOLOK DIRAJA

Tengkolok Diraja diperbuat daripada kain tenunan warna hitam dan bersulamkan benang emas penuh. Bentuk ikatan dan warna Tengkolok Diraja adalah berlainan dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Bentuk ikatan tengkolok yang dipakai oleh DYMM Tuanku Raja Perlis ke VII dinamakan “Dendam Tak Sudah”. Di bahagian hadapannya diletakkan lambang negeri Perlis yang diperbuat daripada emas putih.

KALUNG DIRAJA

Kalung Diraja merupakan Alat Kebesaran Diraja yang digandingkan bersekali dengan Gendik Diraja. Ianya diperbuat daripada emas putih bertakhtakan penuh dengan permata berlian. Kalung Diraja dipakai oleh DYMM Tuanku Raja Perempuan bersekali dengan Gendik Diraja dalam semua Istiadat Rasmi.

Image

SINGGAHSANA

Merupakan tempat Bersemayam Diraja yang melambangkan Takhta Kerajaan negeri Perlis. Singgahsana ini dibina pada tahun 1986 dengan menggunakan kayu jati pertama yang terdapat di Negeri Perlis.

PAYUNG ISTIADAT

Sejumlah lapan unit payung diletak secara statik di kiri dan kanan singgahsana di Balairung Seri. Payung yang berwarna kuning Diraja setiap satu memaparkan lambang negeri Perlis, di bahagian atas dengan tepinya ditekat dengan peramu berwarna keemasan melambangkan perlindungan kepada seluruh rakyat jelata yang bernaung di bawah permerintahan baginda. Payung ini hanya dikembangkan sepenuhnya semasa DYMM Tuanku Raja berangkat ke Balairung Seri untuk istiadat rasmi. Kesemua payung ini akan ditutup separuh setelah selesai sesuatu istiadat rasmi dan disimpan di tempat yang sama.

Image

SUNDANG

Sundang adalah sejenis alat bermata besi panjang dan tajam. Hulu sampir dan sarungnya diperbuat daripada kayu kemuning jenis ternama yang divarnis berkilat dan diukir penuh simbolik bagi melambangkan keagungan alat kebesaran istana. Sarungnya pula diperkemaskan dengan lilitan pergelangan perak bertakhktakan emas dengan hujungnya berlitup. Sundang juga disandang oleh dua orang penjawat berpakaian lengkap istiadat dan dikeluarkan untuk kegunaan hanya semasa keberangkatan masuk DYMM Tuanku Raja ke Balairung Seri dan semasa keberangkatan baginda meninggalkan Balairung Seri setelah selesai Istiadat.

Image

PAYUNG ISTIADAT

Sejumlah lapan unit payung diletak secara statik di kiri dan kanan singgahsana di Balairung Seri. Payung yang berwarna kuning Diraja setiap satu memaparkan lambang negeri Perlis, di bahagian atas dengan tepinya ditekat dengan peramu berwarna keemasan melambangkan perlindungan kepada seluruh rakyat jelata yang bernaung di bawah permerintahan baginda. Payung ini hanya dikembangkan sepenuhnya semasa DYMM Tuanku Raja berangkat ke Balairung Seri untuk istiadat rasmi. Kesemua payung ini akan ditutup separuh setelah selesai sesuatu istiadat rasmi dan disimpan di tempat yang sama.

TOMBAK

Tombak merupakan alat senjata bermata besi tajam dengan batang panjang bersalut perak di beberapa bahagian tertentu. Tombak ini dikeluarkan untuk kegunaan hanya semasa keberangkatan masuk DYMM Tuanku Raja bagi semua Istiadat Rasmi yang berlangsung di Balairung Seri dan semasa Baginda berangkat meninggalkan Balairung Seri setelah selesai sesuatu istiadat rasmi. Tombak ini disandang oleh dua orang penjawat berpakaian lengkap istiadat.

Image


Pihak Pentadbiran Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan menerusi maklumat yang diperolehi melalui laman web ini.
Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.

STATISTIK LAMAN WEB
Masa capaian : 0.5 saat

Tarikh Kemaskini :    10/10/2024 
Statistik Pelawat : ->

004234
Hari Ini: 85
Semalam: 59
Minggu Ini: 85
Minggu Lepas: 551
Bulan Ini: 1,396
Jumlah: 4,234