Salasilah Diraja - Raja Perlis Ketiga

Raja Perlis Ketiga :
Raja Syed Safi Jamalullail (1897-1904)

Ayahanda baginda, Syed Alwi Jamalullail adalah hasil perkongsian hidup antara Raja Syed Ahmad dengan Syarifah Seha binti Syed Muhammad al-Haddad. Bonda baginda pula, Wan Tam merupakan anakanda Dato’ Paduka Laksamana Kedah Wan Ismail dan bersaudara dengan Dato’ Wan Mat Saman (Dato’ Perdana Menteri Kedah) serta Sultanah Wan Hajar (bonda Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah). Pemerintahan Raja Syed Safi Jamalullail diperkuat dengan perlantikan adindanya yang sebonda iaitu Syed Salim Ibni Syed Muhammad al-Jafri sebagai menteri kanan bergelar Luang Sakda. Selain itu, baginda memperkenankan Syed Hassan Ibni Syed Alwi Jamalullail dilantik sebagai Hakim Mahkamah Besar, Dato’ Wan Teh Bin Dato’ Arau sebagai Ketua Rakyat, Tengku Abdullah Bin Tengku Mat Saman sebagai Hakim Mahkamah Kecil, Syed Abdullah Ibni Syed Alwi Jamalullail sebagai Pemegang Khazanah dan Wang Negeri, Syed Abdullah Ibni Syed Ismail Jamalullail sebagai Penghulu Bunga Emas, Haji Kassim Bin Haji Ali sebagai Ketua Rakyat Di Tepi Laut dan Wan Ishak Bin Dato’ Wan Daud sebagai Ketua Pejabat Tanah. Pada zaman awal pemerintahan baginda, telah berlaku pertikaian sempadan antara Negeri Perlis dengan Setul yang ditadbir oleh Ku Din bin Ku Meh. Pertikaian sempadan ini diselesaikan oleh Kerajaan Siam menerusi pembinaan tembok tanah berhampiran Puju, di utara Kampung Wai, Kuala Perlis pada zaman pemerintahan Raja Syed Alwi Jamalullail. Tembok ini berfungsi sebagai pembatas antara kedua-dua negeri ini.

10ikon 4smallPada tahun 1897, Kesultanan Kedah dengan inisiatif Dato’ Perdana Menteri Wan Mat Saman dan Sultanah Wan Hajar cuba mengembalikan Negeri Perlis sebagai daerah dalam Kesultanan Kedah. Percubaan ini berlaku sebaik sahaja mangkatnya Raja Syed Ahmad Jamalullail. Meskipun disokong oleh Phya Tipkosa iaitu Pesuruhjaya Negeri-negeri Naungan Siam Sebelah Barat, tuntutan ini telah ditolak oleh Raja Chulalongkorn. Seterusnya tanpa berputus asa, pihak Kesultanan Kedah mencuba lagi untuk menghilangkan identiti Perlis sebagai negeri yang tersendiri. Asas tuntutan ini didasarkan kepada perlaksanaan Sistem Thesaphiban oleh Kerajaan Siam. Melalui sistem ini, Sultan Abdul Hamid Halim Shah telah dilantik oleh Raja Chulalongkorn sebagai Pesuruhjaya Monthon Saiburi yang bertanggungjawab kepada Negeri Kedah, Negeri Perlis dan Negeri Setul mulai 17 Mei 1897. Justeru menerusi sistem ini, Kesultanan Kedah menganggap Perlis sudah dipulangkan kepada Kedah dan statusnya sebagai sebuah negeri dimansuhkan.

Untuk melancarkan pengembalian Negeri Perlis, pihak Kesultanan Kedah telah menghantar Syed Mansur al-Jafri ke Arau untuk menyelaraskan pentadbiran Perlis dengan Kedah. Bagi menghadapi situasi ini, Raja Syed Safi Jamalullail dan pembesar-pembesar Perlis telah mengambil tindakan memulaukan kerja-kerja pentadbiran yang dikemukakan oleh Syed Mansur. Dato’ Perdana Menteri Wan Mat Saman turut datang sendiri ke Arau untuk mengemukakan tuntutan. Meskipun begitu, tuntutan Kesultanan Kedah ini ditentang hebat oleh Raja Syed Safi Jamalullail yang bertegas menunjukkan Surat Tera dan alat kebesaran DiRaja yang dikurniakan kepada baginda oleh Raja Chulalongkorn. Walaupun tidak berlaku tindakan kekerasan atau pertumpahan darah, tuntutan ini sempat menimbulkan ‘perang dingin’ antara Kerajaan Perlis dengan Kesultanan Kedah.

Sebagai tindak balas, Raja Syed Safi Jamalullail telah mengutuskan menterinya Syed Salim Ibni Syed Muhammad al-Jafri ke Bangkok untuk melaporkan tindak tanduk pihak Kesultanan Kedah terhadap Kerajaan Perlis. Tidak cukup dengan itu, Raja Syed Safi Jamalullail turut membentangkan sendiri situasi yang berlaku ketika baginda mengadap Raja Chulalongkorn di Pulau Pinang sekembalinya dari lawatan ke Eropah. Sebagai penyelesaian kepada isu tuntutan Kesultanan Kedah terhadap Negeri Perlis ini, Raja Chulalongkorn telah mengeluarkan sepucuk surat yang mengesahkan hak Raja Syed Safi Jamalullail dan Wangsa Jamalullail kepada Takhta Kerajaan Perlis. Peristiwa ini berlaku pada awal tahun 1898. Kemudian pada awal tahun 1899, Raja Syed Safi Jamalullail telah menerima cop mohor yang baru daripada Raja Chulalongkorn. Pengurniaan cop mohor ini disokong kuat oleh Putera Damrong Rajanuphab selaku Pesuruhjaya Negeri-negeri Naungan Siam ketika itu. Oleh yang demikian, pengurniaan cop mohor ini telah menamatkan episod tuntutan Kesultanan Kedah terhadap Negeri Perlis.

Raja Syed Safi Jamalullail memang berjasa besar kepada pembangunan prasarana Negeri Perlis. Menerusi sistem kerah, baginda telah menggembleng tenaga rakyat Perlis untuk membina jalan raya dan terusan di negeri ini. Antara jalan yang berjaya dibina dengan pendekatan ini ialah Jalan Perlis-Kedah melalui Kodiang, Jalan Arau-Kangar, Jalan Kangar-Tebing Tinggi dan Jalan Kangar-Sanglang melalui Simpang Empat. Baginda turut berjasa membina tali air bernama Terusan Arau atau disebut juga Sungai Raja yang bermula dari Guar Sanji, melalui Tambun Tulang, Simpang Empat sehingga ke Sungai Baru. Wawasan dan pandangan jauh Raja Syed Safi adalah supaya penempatan rakyat dan kawasan pertanian baru dapat diwujudkan di kanan-kiri jalan raya dan terusan yang baginda bangunkan. Sumbangan baginda mendapat pengiktirafan daripada Penasihat British Perlis yang melaporkan: ‘The late Raja was a great road builder and all the existing roads were due to his energy in that direction’ [Raja terdahulu (iaitu Raja Syed Safi Jamalullail) adalah seorang pembina jalan raya yang hebat dan sehubungan dengan ini semua jalan yang wujud adalah hasil usaha baginda]. Baginda turut menaik taraf cara berniaga dan meningkatkan ekonomi orang Melayu Perlis. Hal ini dilakukan dengan pembinaan sebuah pasar tetap yang dinamakan ‘Pekan Baru’ di Kangar dan lebih terkenal dengan sebutan Market Kangar. Sebelum pembinaan pasar ini, orang Melayu hanya berniaga di pekan-pekan sehari yang dipanggil Nat.

Dalam sektor pendidikan, Raja Syed Safi Jamalullail telah meningkatkan usaha-usaha yang dimulakan semasa baginda menjadi Pemangku Raja kepada nendanya dahulu. Dengan titah baginda, Haji Kassim bin Haji Ali dan Haji Salleh bin Hassan telah mendirikan sekolah di Kangar pada tahun 1898. Pada tahun 1903 pula, sebuah sekolah di Kuala Perlis telah diasaskan oleh Penghulu Mohd. Said bin Haji Awang. Berbeza dengan baginda sendiri yang mendapat pendidikan melalui sistem pendidikan Siam, Raja Syed Safi Jamalullail menghantar putera-puteranya belajar di Sekolah Inggeris. Oleh itu, putera-putera baginda seperti Syed Alwi dan Syed Hamzah dihantar belajar di Pulau Pinang khasnya di Penang Free School.

Dalam aspek busana dan pemakaian, Raja Syed Safi Jamalullail mempopularkan pakaian ala Barat di Perlis. Baginda dan para pembesar Perlis memadankan seluar dan baju kot ala Barat dengan pemakaian songkok. Di bidang hiburan dan kesenian tradisional, Baginda telah menitahkan pembukaan sebuah pekan baru di Kampung Paya. Pekan ini dijadikan taman hiburan yang dibuka setahun sekali iaitu selepas rakyat selesai menuai padi. Untuk menghiburkan rakyat Perlis, banyak persembahan kebudayaan telah dipertunjukkan di sini. Sebuah istana yang dinamakan Tandiap turut didirikan untuk baginda bersemayam sementara baginda berhenti rehat di pekan baru ini. Raja Syed Safi Jamalullail mangkat pada tahun 1904 dan digantikan oleh anakandanya Syed Alwi.

Kredit : Dr. Hazman bin Hassan
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)

Tags


Pihak Pentadbiran Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan menerusi maklumat yang diperolehi melalui laman web ini.
Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.

STATISTIK LAMAN WEB
Masa capaian : 0.5 saat

Tarikh Kemaskini :    06/11/2024 
Statistik Pelawat : ->

006309
Hari Ini: 108
Semalam: 135
Minggu Ini: 243
Minggu Lepas: 832
Bulan Ini: 1,260
Jumlah: 6,309