DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis

DULI YANG MAHA MULIA
TUANKU TENGKU FAUZIAH BINTI ALMARHUM TENGKU ABDUL RASHID

D.K.P., D.K., S.S.P.J., S.P.M.P., D.M.N., D.K.(KELANTAN), D.K.(PAHANG), GRAND CROIX DE L’ORDER (ROYAL SASH) – CAMBODIA, KNIGHT OF THE ROYAL ORDER OF THE SERAPHIM (SWEDEN), THE ORDER OF THE SACRED TREASURE, GOLD AND SILVER STAR (JAPAN)

RAJA PEREMPUAN PERLIS

Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid diputerakan dari hasil perkahwinan kerabat diraja dari dua negeri. Ayahanda baginda ialah Tengku Abdul Rashid ibni Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, Sultan Terengganu manakala bonda baginda ialah Tengku Putri binti Almarhum Sultan Ibrahim Petra, Sultan Kelantan.

Asuhan Diraja
Tuanku Tengku Fauziah diputerakan pada 6 Jun 1946 dan dibesarkan di Kota Bharu, Kelantan. Baginda bersekolah di Zainab English School dan mempamerkan minat terhadap bola jaring serta persembahan pentas. Sebagai puteri berdarah diraja, baginda telah diterapkan dengan nilai-nilai murni dan tatasusila yang tinggi serta diasuh supaya sentiasa bermurah hati dengan orang lain. Di dalam hati nurani baginda, telah tersemat bahawa segala nikmat kurniaan yang diterima daripada Allah SWT tidaklah wajar untuk disimpan sendiri, sebaliknya perlu dikongsi dengan orang lain. Berpegang kepada prinsip erti hidup pada yang memberi, baginda percaya bahawa kebahagiaan akan hadir apabila kita sentiasa memberi dan memuliakan orang lain.

Suntingan Diraja
Dengan peribadi yang sungguh menawan dan mempesona, baginda amat disenangi oleh sekalian kerabat diraja. Sehinggakan, Tuanku Tengku Budriah binti Almarhum Tengku Ismail, Raja Permaisuri Agong III telah berkenan mempersilakan Tuanku Tengku Fauziah yang masih berusia belasan tahun pada masa itu untuk tinggal bersama-sama kerabat diraja Perlis di Istana Negara, Kuala Lumpur. Tuanku Tengku Budriah yang juga berasal dari kerabat diraja Kelantan adalah Raja Perempuan Perlis sejak tahun 1945.
Tuanku Tengku Fauziah kemudiannya ditunangkan dengan Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Muda Perlis pada tahun 1963. Ketika ini, Tuanku Syed Sirajuddin masih menuntut di United Kingdom sehinggalah menamatkan latihan ketenteraan di Royal Military Academy Sandhurst pada tahun 1965. Seterusnya pada 15 Februari 1967, baginda telah melangsungkan perkahwinan dengan Tuanku Syed Sirajuddin pada usia 21 tahun.

Menaiki Takhta
Apabila Tuanku Syed Putra mangkat pada tahun 2000, Tuanku Syed Sirajuddin telah dimahsyurkan sebagai Raja Perlis sekaligus menjadikan Tuanku Tengku Fauziah sebagai Raja Perempuan Perlis. Sebagai payung negeri, baginda amat mengambil berat tentang keselesaan rakyat serta orang di sekelilingnya. Semua kenalan dan kakitangan istana sudah arif dengan keprihatinan baginda terutamanya dari segi penyediaan makan minum serta penginapan yang selesa buat tetamu baginda dan tetamu negeri. Malah, baginda tidak pernah gagal mengurniakan wang ampu kurnia kepada kakitangan atau pekerja yang berjaya melaksanakan tugas-tugas dengan baik.

Sirih Pulang Ke Gagang
Pada 13 Disember 2001, Tuanku Syed Sirajuddin telah dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XII dan menaiki takhta sebagai Ketua Negara. Ibarat ‘sirih pulang ke gagang’, Tuanku Tengku Fauziah sekali lagi berangkat dan bersemayam di Istana Negara, Kuala Lumpur. Sebagai Raja Permaisuri Agong, keprihatinan dan limpah kasih baginda amat terserlah dengan memberikan perhatian dan sering bercemar duli untuk bersama-sama rakyat. Baginda sering berangkat ke program dan acara yang menjuarai kebajikan, kesihatan, kewanitaan, pendidikan, dan kanak-kanak.

Raja Berdaulat Rakyat Berilmu
Pada 2 Mei 2002, Tuanku Tengku Fauziah telah dilantik sebagai Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) atas minat baginda yang mendalam terhadap perkembangan ilmu dan dunia pendidikan. Di bawah naungan baginda, USM telah berjaya melonjakkan prestasi sehingga tersenarai dalam 200 universiti terbaik dunia pada tahun 2004. Sesungguhnya, semangat dan sokongan padu daripada baginda juga telah menjadi inspirasi kepada seluruh warga kerja dan penuntut USM untuk terus mencipta kecemerlangan.

Sentuhan Diraja
Semasa baginda menjadi Raja Permaisuri Agong juga, baginda telah berkenan memberi sentuhan peribadi dalam hiasan dalaman istana. Dengan bakat semulajadi yang artistik, baginda telah menzahirkan kebolehan dan citarasa yang tersendiri dalam aspek hiasan. Bahkan, baginda telah berkenan membawa khas koleksi barangan peribadi baginda dari Perlis ke Putrajaya untuk menghiasai dinding, ruang, dan perabot di Istana Melawati sehingga indah nian dan menjadi kebanggaan baginda.

Raja dan Rakyat Berpisah Tiada
Pada 12 Disember 2006, baginda bersama-sama Tuanku Syed Sirajuddin telah berangkat balik ke negeri Perlis setelah genap lima tahun di ibu negara. Baginda menduduki semula takhta sebagai Raja Perempuan Perlis dan bersemayam di Istana Arau sehingga sekarang. Baginda dikurniakan dengan seorang putera iaitu DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan seorang puteri iaitu YAM Dato’ Seri Datin Paduka Sharifah Fazira serta empat orang cucunda. Semoga Allah SWT melanjutkan usia Duli Tuanku.

Dirgahayu Tuanku.

Tags


Pihak Pentadbiran Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan menerusi maklumat yang diperolehi melalui laman web ini.
Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.

STATISTIK LAMAN WEB
Masa capaian : 0.5 saat

Tarikh Kemaskini :    06/11/2024 
Statistik Pelawat : ->

008595
Hari Ini: 2
Semalam: 117
Minggu Ini: 215
Minggu Lepas: 611
Bulan Ini: 282
Jumlah: 8,595