Pengenalan Negeri Perlis

Penempatan pra-sejarah didapati sudah wujud di bumi Perlis sejak sekian lama dan dibuktikan menerusi penemuan arkeologi di Gua Bukit Tegun Lembu, Mukim Beseri. Selain itu, penemuan arkeologi juga diperolehi di Gua Berhala dan Gua Kurong Batang yang masing-masing terletak di Mukim Wang Bintong. Penemuan ini mengisyaratkan kepercayaan manusia di kawasan tersebut yang dipengaruhi unsur-unsur Buddha Mahayana dan Hindu. Nama Negeri Perlis dikatakan berasal daripada perkataan Siam prow-lowy yang bererti ‘kelapa hanyut’, daripada perkataan dialek Melayu Utara ‘perelus’ iaitu ‘kaki termasuk ke dalam atau ke celah sesuatu’, atau daripada nama Peran Leh yang dikatakan seorang peran atau pelawak mahsyur bernama Saleh. Selain itu, nama Perlis turut dikatakan bermula daripada perkataan ‘peroleh’ yang bermakna ‘mendapat, sempena nama pembesar bergelar Tok Perlis dan dikaitkan dengan ‘perlit’ yang bererti batu. Ahmad dan Yazid (1992) pula membawakan dua belas sebab mengapa nama Perlis lebih kukuh dikaitkan dengan nama sejenis pokok yang mungkin sudah pupus iaitu Pokok Perlis. Perlis juga biasa disebut sebagai Kayang. Nama Kayang ini dipendekkan bersempena nama Kota Indera Kayangan yang diasaskan oleh Sultan Dhiauddin Al-Mukarram Shah I berhampiran Kuala Sungai Perlis. Baginda adalah Sultan Kedah yang kelima belas dan memerintah dari tahun 1661 sehingga 1687.

Satu ketika dahulu, Perlis merupakan daerah atau jajahan di bawah Kerajaan Kedah Tua dan kemudiannya Kesultanan Kedah. Perlis mula menjadi pusat pemerintahan Kesultanan Kedah apabila Sultan Kedah keempat belas, Sultan Muhyiddin Mansur Syah Ibni Sultan Rijaluddin Muhammad Shah yang memerintah dari tahun 1653 sehingga 1661 membina Kota Sena. Kota Sena yang menjadi asas kewujudan Bandar Kangar mula dibina oleh baginda pada tahun 1653 dan dikatakan siap pembinaannya dalam tempoh masa dua tahun. Sultan Muhyiddin Mansur Syah dikenali oleh penduduk tempatan Perlis sebagai Marhum Sena dan makamnya kini berada di Tanah Perkuburan Tok Paduka, Kangar. Anakanda baginda, Sultan Dhiauddin Al-Mukarram Shah I merupakan Sultan Kedah kelima belas dan memerintah dari tahun 1661 sehingga 1687. Baginda turut memilih Perlis sebagai pusat pemerintahan Kesultanan Kedah apabila mendirikan Kota Indera Kayangan di sebelah hilir Sungai Perlis. Penduduk setempat menggelarkan baginda sebagai Marhum Kayang I, sedangkan di Kedah baginda turut disebut sebagai Marhum Di Hilir atau Marhum Di Balai. Makam baginda kini berada di sekitar tapak kompleks Muzium Kota Kayang yang berhampiran dengan Kuala Perlis.

Pada era pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Syah, adinda baginda iaitu Tengku Dhiauddin Mukarram Shah telah memerintah Perlis sebagai Raja Muda Kayang. Raja Muda Kayang serta para pembesarnya telah membangunkan semula Kota Indera Kayangan. Baginda dikenali sebagai Marhum Kayang II oleh penduduk tempatan. Kota Indera Kayangan II ini berlokasi di sekitar Kampung Langgar Kayang yang juga berhampiran dengan Kuala Perlis. Apabila Sultan Abdullah mangkat, anakandanya Tunku Pengeran dianggap terlalu muda untuk ditabalkan sebagai sultan. Lanjutan itu, para pembesar Kedah telah mengangkat Raja Muda Kayang sebagai Pemangku Sultan Kedah yang kedua puluh satu dengan gelaran Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II. Baginda memerintah Kesultanan Kedah dari tahun 1798 sehingga 1803 dan Kota Indera Kayangan II dijadikan pusat pemerintahan. Pada tahun 1803, Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II menuruni takhta untuk memberikan laluan kepada Tunku Pangeran yang kemudiannya digelar Sultan Ahmad Tajuddin II. Baginda kembali menjadi Raja Muda Kayang sehingga mangkat pada tahun 1813. Makamnya berada di Kampung Langgar Kayang.

Semasa bertakhtanya Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II, baginda telah menandatangani perjanjian dengan George Leith, Gabenor British di Pulau Pinang di mana Seberang Perai telah diserahkan kepada Kompeni Hindia Timur Inggeris. Dalam perjanjian berkenaan, Sultan Dhiauddin disebut sebagai ‘Raja Muda Perlis dan Kedah’. Perjanjian yang serupa menyebutkan nama Perlis dahulu daripada Kedah seperti ‘Duli Raja Muda Perlis dan Kedah’, ‘di Perlis dan Kedah’, ‘ke Perlis dan Kedah’ dan ‘Negeri Perlis dan Kedah’. Justeru pemerintahan Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II telah menjadikan Perlis sebagai negeri tersendiri dan istimewa bagaikan ‘a state within state’ (negeri lain dalam sebuah negeri).

Kredit : Dr. Hazman bin Hassan
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs)

Tags


Pihak Pentadbiran Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan menerusi maklumat yang diperolehi melalui laman web ini.
Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.

STATISTIK LAMAN WEB
Masa capaian : 0.5 saat

Tarikh Kemaskini :    06/11/2024 
Statistik Pelawat : ->

008595
Hari Ini: 2
Semalam: 117
Minggu Ini: 215
Minggu Lepas: 611
Bulan Ini: 282
Jumlah: 8,595