Pekarangan Istana Arau Dibuka Kepada Rakyat Untuk Malam Kilauan Cahaya Pada 23-24 Mei

KANGAR, 21 Mei (Bernama) -- Pekarangan Istana Arau akan dibuka kepada rakyat pada Jumaat (23 Mei) dan Sabtu ini (24 Mei) untuk membolehkan mereka berkunjung ke program Malam Kilauan Cahaya Istana Arau #MKC2025 sempena sambutan ulang tahun keputeraan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke-82.

Pejabat Raja Perlis dalam kenyataan hari ini memaklumkan Tuanku Syed Sirajuddin telah memperkenankan membuka perkarangan istana kepada rakyat jelata bagi berkunjung ke malam kilauan cahaya itu dengan perlu berpakaian sopan dan bersesuaian dan ia akan bermula dari 9 malam hingga 11 malam.

"Oleh yang demikian, rakyat jelata adalah dijemput untuk berkunjung ke pekarangan Istana Arau seperti ketetapan di atas. Semoga Malam Kilauan Cahaya pada tahun ini akan memahat seribu satu  kenangan indah buat rakyat," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan hadirin yang mengunjungi pekarangan istana diingatkan antaranya tidak membawa masuk makanan serta minuman dari luar dan pekarangan istana adalah kawasan larangan merokok, termasuk rokok elektronik atau vape.

"Tidak dibenarkan membuang sampah dalam pekarangan Istana Arau. Hadirin hanya dibenarkan untuk berlegar di kawasan yang dibenarkan dan dinasihatkan supaya membawa sendiri payung atau baju hujan sebagai langkah alternatif jika cuaca hujan," menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

25 Penerima Darjah, Pingat Kebesaran Sempena Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis Ke-82

ARAU, 17 Mei (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan mengurniakan darjah dan pingat kebesaran kepada 25 penerima sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-82 pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Pingat Kebesaran Negeri Perlis di Istana Arau di sini hari ini.

Menurut kenyataan Kerajaan Negeri Perlis, jumlah 25 penerima itu merupakan simbolik dipilih bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai Raja Perlis yang bermula 17 April lepas hingga 16 April 2026.

Kenyataan itu memaklumkan mendahului senarai penerima itu dengan Darjah Dato’ Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (D.S.S.J) yang membawa gelaran Datuk Paduka ialah Pengerusi ARKA Holding Engku Maharaja Lela Setia Paduka Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail Syed Amir Abidin Jamalullail.

Ini diikuti Hakim Mahkamah Tinggi Kangar Dr Arik Sanusi Yeop Johari yang dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perlis (D.P.M.P) membawa gelaran Datuk pada istiadat penganugerahan darjah dan pingat kebesaran itu.

Sementara itu, Darjah Dato’ Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (D.S.P.J) yang membawa gelaran Datuk dianugerahkan kepada tiga penerima iaitu Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara Mohamad Haris Kader Sultan, bekas Pengerusi Rejimen Renjer Diraja Mejar Jen Datuk Abdul Rahman A Wahab dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Datuk Dr Zaliman Sauli.

Bekas Pengerusi Kor Polis Tentera  Diraja Mejar Jen Abd Wahab Geoh, Ketua Pengarah Pengurusan dan Latihan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional Mejar Jen Mohd Azmurin Mat Khalib dan Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Kedah Zepri Saad pula masing-masing menerima anugerah  Darjah Dato’ Panglima Sirajuddin Jamalullail (D.P.S.J) yang membawa gelaran Datuk.

Dalam pada itu, Darjah Setia Mahkota Perlis (S.M.P) dianugerahkan kepada enam penerima termasuk Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis Rus’sele Eizan, Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP Prof Dr Mohd Mustafa Albakri Abdullah dan Ketua Jabatan Otorinolaringologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan Brig Jen Dr Loh Sheau Torng.

Selain itu, sembilan orang pula masing-masing menerima anugerah Darjah Seri Sirajuddin Perlis (S.S.P) pada istiadat penganugerahan itu, antaranya Aide-de-Camp kepada Raja Perlis Kol Hairil Razman Mohamad, Ketua Eksekutif Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional Ahmad Dasuki Abdul Majid, Pengarah Imigresen Perlis Khairul Amin Talib, Pengarah Bahagian Pencegahan Agensi Antidadah Kebangsaan Zainudin Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Mohd Nazim Mohd Noor.

Kenyataan itu turut memberitahu dua penerima dianugerahkan Darjah Ahli Mahkota Perlis (A.M.P) iaitu Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azmi Abdul Latip dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Raja Perlis Shaiful Amri Ahmad Safian.

Turut berangkat pada istiadat penganugerahan itu Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

- BERNAMA

Sultan Brunei Serikan Majlis Santapan Diraja Sempena Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis

ARAU, 17 April (Bernama) -- Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Diraja yang merupakan acara utama sambutan Jubli Perak pemerintahan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau malam ini.

Keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Arau pada 8.57 malam disambut oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail. 

Hadir sama menyambut ketibaan baginda ialah Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Turut berangkat menyerikan majlis santapan itu ialah Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertua Negeri.

Raja Perlis berangkat ke majlis itu bersama Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof turut menghadiri majlis itu.

Sultan Hassanal Bolkiah dan delegasi baginda tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar, Kedah dengan pesawat Royal Brunei pada 2.45 petang untuk menghadiri majlis santapan itu.

Baginda dijadual berangkat pulang pada 12 tengah hari esok.

Sambutan itu, yang bakal berlangsung hingga 16 April tahun depan, membuka tirainya hari ini dengan majlis santapan tersebut selain pelbagai acara menarik sebagai pengisian termasuk Majlis Perasmian Mercu Tanda Bulatan Padang Besar pada 24 April ini.

Menurut kenyataan Kerajaan Negeri Perlis, acara lain ialah penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2025 dari 27 April hingga 2 Mei serta Persembahan Kesenian dan Orkestra Diraja pada 15 Nov ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan pada 26 April ini, Istiadat Perarakan Panji-Panji Pasukan-Pasukan Rejimen Renjer Diraja akan berlangsung pada sebelah pagi manakala pada sebelah malam diadakan persembahan TATU oleh Tentera Darat Malaysia di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.

- BERNAMA

Raja Perlis Lancar Logo Rasmi Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Baginda

KANGAR, 21 Feb (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyempurnakan pelancaran logo rasmi sambutan Jubli Perak yang direka khas bagi memperingati 25 tahun pemerintahan baginda yang akan disambut pada 17 April ini.

Turut berangkat pada majlis pelancaran logo di Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kuala Perlis dekat sini hari ini ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Menurut kenyataan Istana Arau, logo itu bukan sekadar simbol sambutan, tetapi juga manifestasi kecemerlangan pemerintahan Tuanku Syed Sirajuddin sepanjang 25 tahun memerintah Perlis dan setiap elemen direka dengan teliti serta sarat dengan makna yang mencerminkan kepimpinan baginda dalam membawa negeri ini ke arah kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan seluruh rakyat.

Reka bentuk logo berkenaan menampilkan tujuh elemen utama yang melambangkan kebesaran, kestabilan dan kemakmuran Perlis di bawah kepimpinan Tuanku Syed Sirajuddin.

"Antara tujuh elemen unik dengan maksud tersirat logo ini ialah 'Tengkolok Putra Julang Darjat' pada bahagian atas logo yang merupakan tengkolok rasmi Raja Perlis menggambarkan kedaulatan, kebesaran dan warisan institusi Diraja Perlis serta melambangkan keadilan dan kewibawaan pemerintahan baginda sebagai Raja Perlis.

"Tulisan Arab 'جوبلى فيراق' (Jubli Perak) mencerminkan warisan Islam yang teras dalam budaya Perlis. Angka 25 berwarna emas pula ialah simbol utama dan angka itu juga melambangkan dua dekad setengah pemerintahan Raja Perlis,” menurut kenyataan itu.

Warna emas digunakan untuk menggambarkan kejayaan, kestabilan dan kecemerlangan yang dikecapi Perlis sepanjang tempoh berkenaan.

"Lingkaran emas yang mengelilingi logo mengandungi teks rasmi 'SAMBUTAN JUBLI PERAK PEMERINTAHAN DYMM TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL, RAJA PERLIS' pula ialah bentuk lingkaran melambangkan kesinambungan pemerintahan yang aman, harmoni dan inklusif, merangkumi semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, kaum atau budaya," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan nama baginda "Syed Sirajuddin Jamalullail" dengan motif pelita atau "Siraj" yang ditulis dalam tulisan Jawi melambangkan cahaya kebijaksanaan yang mencerminkan peranan Tuanku Syed Sirajuddin sebagai pemayung, penerang haluan negeri, memimpin ke arah kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

"Jata Diraja Perlis juga dimasukkan sebagai lambang kebesaran kerajaan negeri dan kesinambungan warisan Diraja Wangsa Jamalullail manakala angka 2000-2025 sebagai garis masa pemerintahan gemilang baginda pula menandakan tempoh pemerintahan dipenuhi kejayaan, pembangunan dan kebajikan rakyat. Ia juga melambangkan era kegemilangan di bawah kepimpinan Tuanku,” menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Duta Besar Sweden ke Malaysia kagum keprihatinan Pemangku Raja Perlis terhadap masyarakat memerlukan

KANGAR: Duta Besar Sweden ke Malaysia Dr Joachim Bergstrom kagum akan keprihatinan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mendalam terhadap nasib masyarakat yang memerlukan di Perlis.

Kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini memaklumkan Bergstrom percaya bahawa usaha menyalurkan bantuan dan menyantuni penduduk kampung akan memberikan kesan besar kepada mereka terutamanya penduduk setempat.

"Saya percaya usaha-usaha menyalurkan bantuan dan membawa pegawai kesihatan seperti doktor untuk menyantuni dan merawat penduduk kampung ini akan memberi impak yang besar khususnya kepada penduduk setempat," kata Bergstrom menerusi kenyataan itu.

Bergstrom juga menyatakan beliau amat berbesar hati kerana dapat turut serta dalam Kayuhan MAIPs Peduli bersama Tuanku Syed Faizuddin Putra di sekitar Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis pada Isnin lepas.
"Duta Besar Sweden ke Malaysia itu juga tertarik dengan kronologi bagaimana sebuah kampung nelayan yang telah ditransformasi menjadi salah satu tarikan utama pelancongan negeri dengan mencantikkan bangunan lama dan rumah-rumah kampung menjadi berwarna-warni dan indah," menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut memaklumkan Bergstrom turut teruja dengan semangat kekitaan dan kebersamaan sepanjang kayuhan bersama Pemangku Raja Perlis itu.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang Dipertua MAIPs turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berupa wang tunai RM700, Kits MAIPs Peduli dan beras fidyah masing-masing kepada asnaf terpilih dalam kayuhan itu iaitu Nordin Yusoff, 65, Ismail Saidin, 58, dan Ibni Razak, 65, dari Kampung Pulau Ketam di Kuala Perlis.
Bergstrom berada di Perlis dari 30 Jun hingga semalam dalam lawatan rasminya ke negeri itu untuk menghadiri Majlis Syarahan Umum oleh Duta Besar Sweden berkenaan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Arau pada pagi Isnin lepas sebelum kayuhan itu pada sebelah petang.-- BERNAMA


Pihak Pentadbiran Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan menerusi maklumat yang diperolehi melalui laman web ini.
Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.

STATISTIK LAMAN WEB
Masa capaian : 0.5 saat

Tarikh Kemaskini :    25/6/2025 
Statistik Pelawat : ->

029746
Hari Ini: 84
Semalam: 555
Minggu Ini: 829
Minggu Lepas: 505
Bulan Ini: 2,521
Jumlah: 29,746