Perlis harus buat analisis kritikal, berani laksana dasar baharu - Raja Perlis

Perlis harus buat analisis kritikal, berani laksana dasar baharu - Raja Perlis

Raja Muda Perlis

BERNAMA

KANGAR, 23 April (Bernama) -- Kerajaan Perlis harus membuat analisis kritikal dan berani dalam membuat keputusan bagi pelaksanaan dasar baharu yang baik, di samping melipatgandakan usaha untuk meningkatkan hasil negeri menerusi sumber baharu.

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah dasar dan projek yang sudah tidak relevan dengan dinamik semasa perlu diubah suai atau diganti segera, agar memberikan faedah maksimum kepada rakyat.

“Berdasarkan bajet tersebut (Belanjawan Perlis 2024), beta difahamkan bahawa kerajaan negeri diunjurkan akan mengalami defisit sebanyak RM71.40 juta pada tahun berakhir 2024, berbanding RM68.18 juta pada tahun berakhir 2023, iaitu peningkatan defisit sebanyak RM3.2 juta atau 4.73 peratus.

“Justeru, beta berharap kerajaan negeri dapat mengambil tindakan bagi memastikan perbelanjaan yang dibuat adalah perbelanjaan yang benar-benar perlu bagi mencapai keberhasilan dan keberkesanan aktiviti yang dilaksanakan,” titah baginda.

Titah ucapan Raja Perlis itu dibaca Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di Kompleks DUN Perlis di sini hari ini.

Turut berangkat hadir Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Pada 12 Dis 2023, media melaporkan Belanjawan Perlis 2024 yang bertemakan “Melestari Ekonomi Negeri Demi Kesejahteraan Rakyat” memperuntukkan RM293.92 juta bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Mohd Shukri ketika membentangkan belanjawan itu dipetik sebagai berkata daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM184.64 juta atau 62.82 peratus disediakan di bawah perbelanjaan mengurus manakala RM109.27 juta atau 37.18 peratus merupakan perbelanjaan pembangunan.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin menasihati agar sebarang bentuk kerenah birokrasi dalam urusan kerajaan perlu dielakkan sama sekali dan perlu ada rasa mendesak  serta bertindak segera dalam memastikan perkhidmatan yang disediakan diselesaikan dengan pantas.

“Dengan kemajuan AI (kecerdasan buatan) masa kini, semua anggota pentadbiran serta penjawat awam perlu memperlihatkan keupayaan untuk menjalankan tugas yang diberikan secara total dan kreatif,” titah baginda.

Raja Perlis turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh jentera kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar yang berusaha gigih dan bekerja keras untuk membawa pembangunan demi kemakmuran negeri yang berterusan.

“Beta menghargai peranan Ahli-ahli Dewan Negeri, Ahli-ahli Dewan Negara, seluruh anggota penjawat awam negeri dan Persekutuan serta pihak swasta yang saling bekerjasama melaksanakan tanggungjawab, memenuhi amanah untuk membangun dan memajukan negeri. Semoga Allah S.W.T. melimpahkan rahmat dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat negeri Perlis,” titah baginda.

-BERNAMA-

Tags


Pihak Pentadbiran Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan menerusi maklumat yang diperolehi melalui laman web ini.
Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.

STATISTIK LAMAN WEB
Masa capaian : 0.5 saat

Tarikh Kemaskini :    06/11/2024 
Statistik Pelawat : ->

007482
Hari Ini: 66
Semalam: 161
Minggu Ini: 555
Minggu Lepas: 861
Bulan Ini: 2,433
Jumlah: 7,482