Darjah kebesaran dan Pingat Negeri Perlis

dkp  
DARJAH KERABAT DIRAJA PERLIS
Ringkasnya D.K.P.

Dizahirkan pada 17 Mei 2001. Darjah ini tidak membawa apa-apa gelaran. Darjah ini mengandungi Kalung, Bintang, Selepang dan Lencana. Dizahirkan khususnya dan dikurniakan hanya kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis.

 dk  
DARJAH KERABAT BAGINDA
TUANKU SYED PUTRA JAMALULLAIL
Ringkasnya D.K.

Dizahirkan pada 21 September 1965. Penerima kurnia bagi Darjah ini tidak membawa apa-apa gelaran. Darjah ini mengandungi Kalung, Bintang, Selepang dan Lencana dikurniakan kepada DYMM Raja-Raja, Kerabat-kerabat Diraja Perlis yang kanan serta pihak tertentu atas limpah perkenan DYMM Tuanku Raja Perlis.

 dbsj  
DARJAH DATO’ BENDAHARA SERI JAMALULLAIL
Ringkasnya D.B.S.J.

Dizahirkan pada tahun 2006. Darjah ini mengandungi Kalung, Bintang, Selepang dan Lencana. Darjah ini dikurniakan atas perkenan DYMM Tuanku Raja Perlis. Darjah ini merupakan penghormatan yang sangat tinggi kepada penerima. Penerima kurnia bagi darjah ini membawa gelaran Dato’ Bendahara Seri Diraja Negara.

 sssj  
DARJAH SERI SETIA
TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
Ringkasnya S.S.S.J.

Dizahirkan pada 17 Mei 2001. Darjah ini mengandungi Kalung, Bintang, Selepang dan Lencana. Darjah ini dikurniakan kepada Kerabat-Kerabat Diraja Perlis dan juga kepada pihak-pihak tertentu atas limpah perkenan DYMM Tuanku Raja Perlis. Penerima kurnia bagi darjah ini membawa gelaran Dato’ Seri Diraja. Gelaran untuk isteri penerima ialah Datin Seri Diraja.

 spsj  
DARJAH SETIA PADUKA
TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALLULLAIL
Ringkasnya S.P.S.J.

Dizahirkan pada tahun 2005. Darjah ini mengandungi Kalung, Bintang, Selepang dan Lencana. Penerima kurnia bagi darjah ini membawa gelaran Dato’ Seri Setia Diraja.

 spmp  
DARJAH SERI PADUKA MAHKOTA PERLIS
Ringkasnya S.P.M.P.

Dizahirkan pada 21 September 1965. Darjah ini mengandungi Kalung, Bintang, Selepang dan Lencana. Penerima kurnia bagi darjah ini membawa gelaran Dato’ Seri. Gelaran untuk isteri penerima ialah Datin Seri


   
DARJAH DATO’ SETIA
TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
Ringkasnya D.S.S.J.

Dizahirkan pada 17 Mei 2001. Darjah ini dikurniakan kepada Kerabat-Kerabat Diraja dan juga kepada pihak-pihak tertentu atas limpah perkenan DYMM Tuanku Raja Perlis. Penerima kurnia bagi darjah ini membawa gelaran Dato’ Paduka. Gelaran untuk isteri penerima ialah Datin Paduka.

   
DARJAH DATO’ WIRA
TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
Ringkasnya D.W.S.J.

Dizahirkan pada tahun 2005. Darjah ini dikurniakan kepada mereka yang berkhidmat cemerlang kepada Negeri Perlis. Penerima kurnia bagi darjah ini membawa gelaran Dato’ Wira.

   
DARJAH DATO’ PADUKA MAHKOTA PERLIS
Ringkasnya D.P.M.P.

Dizahirkan pada 21 September 1965. Darjah ini mengandungi Bintang, Selepang dan Lencana. Penerima kurnia bagi darjah ini membawa gelaran Dato’. Gelaran untuk isteri penerima ialah Datin.

   
DARJAH DATO’ SETIA PADUKA
TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
Ringkasnya D.S.P.J.

Dizahirkan pada tahun 2005. Darjah ini dikurniakan kepada mereka yang berkhidmat cemerlang kepada Negeri Perlis. Penerima kurnia bagi darjah ini membawa gelaran Dato’. Gelaran untuk isteri penerima ialah Datin.

 dpsj  
DARJAH DATO’ PANGLIMA SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
Ringkasnya D.P.S.J.

Dizahirkan pada 25 Februari 1995. Darjah ini mengandungi Kalung, Bintang dan Lencana Leher. Darjah ini dikurniakan kepada mereka yang berkhidmat cemerlang kepada Negeri Perlis. Penerima kurnia bagi darjah ini membawa gelaran Dato’. Gelaran untuk isteri penerima ialah Datin.

 datobergelar  
DARJAH DATO’ BERGELAR

Dizahirkan pada 27 Disember 1978. Pengurniaan Dato’ Bergelar membawa gelaran mengikut Pengurniaan itu sendiri. Dato’-Dato’ Bergelar yang telah diperkenankan diwujudkan sehingga penerbitan ini adalah seperti berikut :

I. Dato’ Kurnia Bakti VII. Dato’ Kaya Bakti
II. Dato’ Indera Perkasa VIII. Dato’ Setia Jaya
III. Dato’ Indera Dewa IX. Dato’ Alim Setia
IV. Dato’ Indera Jaya X. Dato’ Lela Perkasa
V. Dato’ Indera Pahlawan XI. Dato’ Arif Perkasa
VI. Dato’ Alim Panglima XII. Dato’ Murshid Diraja
VII. Dato’ Kaya Bakti
VIII. Dato’ Setia Jaya
IX. Dato’ Alim Setia
X. Dato’ Lela Perkasa
XI. Dato’ Arif Perkasa
XII. Dato’ Murshid Diraja
Gelaran untuk isteri penerima ialah Datin.


   
DARJAH SETIA MAHKOTA PERLIS
Ringkasnya S.M.P.

Dizahirkan pada 21 September 1965. Darjah ini mengandungi Lencana Leher.

   
DARJAH SERI SIRAJUDDIN PERLIS
Ringkasnya S.S.P.

Dizahirkan pada tahun 2005. Darjah ini mengandungi Lencana Leher dan dikurniakan kepada mereka yang mempunyai kedudukan yang tinggi dan berjasa kepada Negeri Perlis.

 

amp
ampp

DARJAH AHLI MAHKOTA PERLIS
Ringkasnya A.M.P.

Dizahirkan pada 27 Jun 1971. Darjah ini mengandungi Pingat. Darjah ini dikurniakan kepada mereka yang memberikan perkhidmatan cemerlang kepada Negeri Perlis. Pingat yang di bawah adalah untuk wanita.

 

pmpl
pmpp

PINGAT MAHKOTA PERLIS
Ringkasnya P.M.P.

Dizahirkan pada 22 Jun 1995. Pingat ini dikurniakan kepada sesiapa yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang kepada Negeri Perlis. Pingat yang di bawah adalah untuk wanita.


 


 
PINGAT KEBERANIAN HANDAL
Ringkasnya P.K.H.

Dizahirkan pada 22 Ogos 1953. Pingat ini boleh dikurniakan kepada sesiapa di dalam Negeri Perlis yang telah menunjukkan keberanian handal di dalam kejadian yang sangat-sangat membahayakan dirinya. Pingat yang di bawah adalah untuk wanita.

 
pptl
pptp
 
PINGAT PEKERTI TERPILIH
Ringkasnya P.P.T.

Dizahirkan pada 18 Ogos 1960. Pingat ini boleh dikurniakan kepada sesiapa yang telah melakukan di dalam Negeri Perlis ini sesuatu perbuatan atau beberapa perbuatan pekerti yang terpilih di dalam keadaan yang membahayakan dirinya. Pingat yang di bawah adalah untuk wanita.

 
pjkl
pjkp
 
PINGAT JASA KEBAKTIAN
Ringkasnya P.J.K.

Dizahirkan pada 22 Oktober 1953. Pingat ini boleh dikurniakan kepada sesiapa yang telah melakukan jasa kebaktian kepada Negeri Perlis. Pingat yang di bawah adalah untuk wanita.

 
pjbl
pjbp
 
PINGAT JASA BAIK
Ringkasnya P.J.B.

Dizahirkan Pada 30 Jun 1968. Pingat ini boleh dikurniakan kepada sesiapa yang telah berkhidmat dengan cemerlang dan taat kepada Negeri Perlis. Pingat yang di bawah adalah untuk wanita.


ppll
pplp
PINGAT PERKHIDMATAN LAMA
Ringkasnya P.P.L.

Dizahirkan pada 4 Julai 1962. Pingat ini diberi kepada Pegawai-Pegawai Kerajaan yang telah berkhidmat dengan cemerlang melebihi 25tahun. Pingat yang di bawah adalah untuk wanita.

 

Salasilah Diraja

Kerajaan Perlis Di Bawah Pemerintahan Tujuh Orang Raja

Kewujudan wangsa Jamalullail bermula semenjak abad ke-15 Masihi oleh Muhammad bin Hasan al-Muallim bin Muhammad Asadillah bin Hasan al-Turabi kelahiran Tarim. Tarim adalah sebuah bandar di Hadramaut yang kini berlokasi di Yemen. Walau bagaimanapun apabila nasab kabilah Jamalullail bersambung sehingga Fatimah binti Muhammad iaitu puteri Rasulullah s.a.w, maka umur wangsa Jamalullail dapat disandarkan secara umumnya bermula semenjak keputeraan baginda Rasulullah s.a.w.

Penghulu Arau Pertama :
Tuan Syed Harun Jamalullail (1798-1825)

Destini kabilah ini mula berubah apabila salah seorang keturunan Muhammad bin Hasan al-Muallim yang bernama Syed Ahmad Jamalullail berhijrah ke Kedah pada tahun 1735. Pada tahun 1751, anakanda Syed Ahmad yang bernama Syed Harun Jamalullail telah berhijrah ke Cenak (Chana) yang kini termasuk dalam wilayah Singgora (Songkhla), Thailand. Akibat ancaman daripada Raja Singgora, Syed Harun Jamalullail dan para pengikutnya telah berpindah dari Cenak ke Kedah atau lebih tepat lagi ke daerah Perlis. Beliau telah mengasaskan Mukim Arau. Para pengikutnya pula membuka kampung di kawasan Padang Siding.

10ikon 1smallSultan Dhiauddin Mukarram Shah II yang memerintah Perlis dan Kedah pada masa itu tertarik dengan keperibadian Syed Harun Jamalullail. Lalu baginda mengahwinkan puteri baginda bernama Tengku Sofiah dengan Syed Harun. Sebagai hadiah perkahwinan tersebut, baginda telah menganugerahkan Mukim Arau untuk ditadbir oleh Syed Harun dan keturunannya sebagai penghulu. Perkahwinan Penghulu Syed Harun Jamalullail dengan Tengku Sofiah tidak menghasilkan zuriat. Syed Harun kemudiannya berkahwin Wan Fatimah binti Wan Abdul Rahman yang juga merupakan cucu kepada Dato’ Johan Lela Perkasa, salah seorang pembesar yang berkhidmat di istana Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II.

Hasil perkongsian hidup Penghulu Syed Harun Jamalullail dengan Wan Fatimah, mereka telah dikurniakan seorang anak yang dinamakan Syed Hussein pada tahun 1805. Syed Hussein ini turut dijaga dan dididik dengan adat istiadat istana oleh bonda tirinya, Tengku Sofiah binti Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II. Demikian juga Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II yang menganggap Syed Hussein bagaikan cucunda baginda sendiri. Penghulu Syed Harun telah meninggal dunia pada tahun 1825 ketika mana berlaku peperangan Kedah-Siam (1821-1838). Anakandanya, Syed Hussein telah menggantikan beliau sebagai Penghulu yang kedua bagi Mukim Arau.

Kredit : Dr. Hazman bin Hassan
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)


Penghulu Arau Kedua / Raja Perlis Pertama :
Raja Syed Hussein Jamalullail (1825-1843) / (1843-1873)

Perang Kedah-Siam telah membuka jalan kepada tertubuhnya Kerajaan Perlis. Dalam suasana berkecamuknya perang inilah Penghulu Syed Hussein bersama-sama dengan seorang Kerabat DiRaja Kedah yakni Tunku Anum Paduka Jambangan dan pembesar lain mula merintis jalan penyelesaian kepada peperangan yang memakan ribuan korban. Mereka mengaplikasikan pendekatan diplomasi dan berkerjasama dengan Kerajaan Siam untuk menghentikan pertumpahan darah.

10ikon 2smallDi Bangkok, Raja Rama III merombak dan menyusun semula pentadbiran Kesultanan Kedah hasil cadangan Chao Phya Yommarat dan Phya Siphiphat. Kerajaan Siam berhasrat supaya Negeri Melayu yang sedang bergolak itu dapat ditadbir oleh Kerabat DiRaja Kedah sendiri dan Pembesar Melayu yang dianggap lebih pro-Siam. Hasilnya, Kesultanan Kedah telah dibahagikan kepada empat muang atau negeri yang baru serta ditadbir oleh gabenor-gabenor berasingan iaitu Muang Saiburi (Kedah), Muang Kubang Pasu (Kubang Pasu), Muang Satun (Setul) dan Muang Polit (Perlis). Selain menjadi Penghulu Mukim Arau, Syed Hussein turut dilantik sebagai Timbalan Gabenor kepada Raja Long Krok atau Paduka Seri Maharaja Lela pada tahun 1839. Justeru, tahun 1839 dianggap sebagai tahun bersejarah di mana Daerah Perlis dinaiktaraf sebagai Negeri Perlis. Selepas Raja Long Krok meninggal dunia, Syed Hussein dilantik sebagai Gabenor Perlis. Orang-orang Melayu khususnya di Arau telah memperakui Syed Hussein sebagai penghulu dan penaung mereka yang diiktiraf bertaraf gabenor oleh Raja Siam.

Pada tahun 1843, Raja Syed Hussein Jamalullail telah ditabal secara rasmi sebagai Phya Polit dalam bahasa Siam atau Raja Perlis dalam bahasa Melayu. Kepada baginda, Raja Rama III telah mengurniakan gelaran Phya Songkram Ramu Wichit Wilis Asmara Phya Polit atau boleh disingkatkan sebagai Phya Polit. Seterusnya, kesemua Raja-raja Perlis yang ditabalkan oleh Raja Siam di Bangkok akan dikurniakan dengan gelaran ini. Raja Syed Hussein Jamalullail turut memulakan tradisi untuk Kerajaan Perlis menghantar ufti Bunga Emas, Bunga Perak serta persembahan-persembahan lain kepada Raja-raja Siam. Ufti ini dihantar setiap tiga tahun sekali bermula dari tahun 1845.

Pemerintahan Raja Syed Hussein Jamalullail dibantu oleh adinda baginda, Raja Muda Syed Abdullah Ibni Syed Harun Jamalullail. Dato’ Arau dilantik sebagai Perdana Menteri dengan gelaran Dato’ Belat Seri Paduka Perdana Menteri. Di samping itu, pembesar-pembesar lainnya adalah Dato’ Seri Lela Pahlawan Alang Kechik, Dato’ Seri Indera Dewa Lahim, empat orang anak Dato’ Arau dan Kadi Besar Syed Muhammad Ibni Syed Abdullah al-Haddad. Raja Syed Hussein Jamalullail memahsyurkan semula nama Indera Kayangan sebagai gelaran kepada Negeri Perlis. Nama ini diambil bersempena nama Kota Indera Kayangan II di mana baginda telah dididik dan dibesarkan oleh Tengku Sofiah binti Sultan Dhiauddin Mukarram Shah II. Di bawah pemerintahan baginda, Negeri Perlis telah dibahagikan kepada 22 mukim yang ditadbir oleh penghulu lantikan baginda. 22 mukim tersebut adalah mukim Titi Tinggi, Beseri, Chuping, Paya, Padang Siding, Abi, Padang Pauh, Ngulang, Oran, Kurong Batang, Arau, Kechor, Sena, Sungai Adam, Kurong Anai, Jejawi, Kuala Perlis, Wang Bintong, Seriab, Kayang, Utan Aji dan Sanglang.

Pada tahun 1844, Negeri Perlis di bawah pemerintahan baginda berjaya mengharungi satu lagi kemelut. Kemelut yang dimaksudkan adalah pertikaian sempadan Perlis dengan Setul yang dipimpin oleh rajanya Tunku Muhammad Akib. Pada tahun 1859 pula, Negeri Kubang Pasu yang sama lahirnya dengan Negeri Perlis telah diturunkan statusnya kembali menjadi daerah dalam Kesultanan Kedah. Hal ini terjadi apabila mangkatnya Raja Kubang Pasu, Tunku Anum Paduka Jambangan diikuti perpecahan yang berlaku di kalangan pewaris takhta dan pembesar negeri. Apabila Kesultanan Kedah menuntut Kerajaan Siam mengembalikan Kubang Pasu kepada Kedah, permintaan ini telah ditunaikan oleh Raja Mongkut. Raja Syed Hussein mengambil iktibar daripada kejadian ini lalu baginda memperkuatkan lagi perpaduan dalam kalangan Kerabat DiRaja dan pembesar Perlis. Raja Syed Hussein mangkat pada tahun 1873 lalu digantikan oleh anakandanya Raja Syed Ahmad Jamalullail.

Kredit : Dr. Hazman bin Hassan
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)


Raja Perlis Kedua :
Raja Syed Ahmad Jamalullail (1873-1897)

Baginda adalah anakanda Raja Syed Hussein melalui perkongsian hidup dengan Che Sofiah binti Dato’ Arau. Pemerintahan Raja Syed Ahmad dibantu oleh pembesar-pembesar khasnya Kerabat DiRaja dan keturunan Dato’ Arau. Syed Alwi Ibni Syed Hussein Jamalullail iaitu adinda baginda yang berlainan bonda dilantik sebagai Raja Muda. Tiga orang anak Dato’ Arau yang menyerlah sebagai pembesar negeri adalah Dato’ Seri Lela Indera Dewa Wan Din, Dato’ Seri Lela Perkasa Che’ Lanang dan Dato’ Seri Lela Mahkota Wan Mat Saman. Selain itu, baginda dibantu oleh Dato’ Seri Lela Pahlawan Che Mat Saman bin Dato’ Seri Lela Pahlawan Alang Kechik, Dato’ Indera Jaya Wan Daud bin Wan Muhammad Said, Che’ Muhammad Saad bin Haji Musa sebagai Penghulu Bendahari dan Haji Muhammad bin Haji Abdul Latif sebagai Kadi Besar.

10ikon 3smallRaja Syed Ahmad telah berhasil mengatasi masalah pewaris takhta daripada jurai keturunan baginda. Hal ini terjadi apabila putera tunggal baginda, Syed Alwi telah mangkat di Kuala Kedah pada tahun 1863. Sebagai ganti, Raja Syed Ahmad dengan bijaksana telah menyusun strategi supaya cucunda baginda Syed Safi Ibni Syed Alwi diangkat sebagai pewaris takhta apabila baginda mangkat kelak. Untuk mempersiapkan cucunda baginda sebagai Raja Perlis, Raja Syed Ahmad telah menghantar Syed Safi Ibni Syed Alwi untuk mendapat pendidikan di Kota Bangkok. Syed Safi turut berkesempatan bertugas sebagai Mahat Let atau ‘Budak Raja’ di Istana Bangkok. Hasilnya, Syed Safi mahir bertutur dan menulis dalam bahasa Siam, arif berkenaan urusan pentadbiran serta lebih akrab dengan Kerajaan DiRaja Siam. Pada tahun 1888, Sekolah Melayu Arau telah didirikan sebagai sekolah pertama di Negeri Perlis dengan daya usaha cucunda baginda Syed Safi.

Dalam tahun 1890-an, berlaku pertikaian sempadan antara Negeri Perlis dengan Negeri Kedah. Hal ini bermula apabila seorang Inggeris bernama Dunlop telah diperkenankan oleh Raja Syed Ahmad untuk membuka lombong arang batu di Bukit Arang. Walau bagaimanapun, Tunku Yaakob putera Sultan Ahmad Tajuddin III melarang Dunlop mengerjakan lombong tersebut dengan alasan Bukit Arang merupakan wilayah Kedah. Pertikaian ini diselesaikan dengan keputusan Raja Chulalongkorn yang berpihak kepada Kerajaan Perlis. Raja Syed Ahmad mangkat pada tahun 1897 dan cucunda baginda iaitu Syed Safi menaiki takhta Kerajaan Perlis.

Kredit : Dr. Hazman bin Hassan
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)


Raja Perlis Ketiga :
Raja Syed Safi Jamalullail (1897-1904)

Ayahanda baginda, Syed Alwi Jamalullail adalah hasil perkongsian hidup antara Raja Syed Ahmad dengan Syarifah Seha binti Syed Muhammad al-Haddad. Bonda baginda pula, Wan Tam merupakan anakanda Dato’ Paduka Laksamana Kedah Wan Ismail dan bersaudara dengan Dato’ Wan Mat Saman (Dato’ Perdana Menteri Kedah) serta Sultanah Wan Hajar (bonda Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah). Pemerintahan Raja Syed Safi Jamalullail diperkuat dengan perlantikan adindanya yang sebonda iaitu Syed Salim Ibni Syed Muhammad al-Jafri sebagai menteri kanan bergelar Luang Sakda. Selain itu, baginda memperkenankan Syed Hassan Ibni Syed Alwi Jamalullail dilantik sebagai Hakim Mahkamah Besar, Dato’ Wan Teh Bin Dato’ Arau sebagai Ketua Rakyat, Tengku Abdullah Bin Tengku Mat Saman sebagai Hakim Mahkamah Kecil, Syed Abdullah Ibni Syed Alwi Jamalullail sebagai Pemegang Khazanah dan Wang Negeri, Syed Abdullah Ibni Syed Ismail Jamalullail sebagai Penghulu Bunga Emas, Haji Kassim Bin Haji Ali sebagai Ketua Rakyat Di Tepi Laut dan Wan Ishak Bin Dato’ Wan Daud sebagai Ketua Pejabat Tanah. Pada zaman awal pemerintahan baginda, telah berlaku pertikaian sempadan antara Negeri Perlis dengan Setul yang ditadbir oleh Ku Din bin Ku Meh. Pertikaian sempadan ini diselesaikan oleh Kerajaan Siam menerusi pembinaan tembok tanah berhampiran Puju, di utara Kampung Wai, Kuala Perlis pada zaman pemerintahan Raja Syed Alwi Jamalullail. Tembok ini berfungsi sebagai pembatas antara kedua-dua negeri ini.

10ikon 4smallPada tahun 1897, Kesultanan Kedah dengan inisiatif Dato’ Perdana Menteri Wan Mat Saman dan Sultanah Wan Hajar cuba mengembalikan Negeri Perlis sebagai daerah dalam Kesultanan Kedah. Percubaan ini berlaku sebaik sahaja mangkatnya Raja Syed Ahmad Jamalullail. Meskipun disokong oleh Phya Tipkosa iaitu Pesuruhjaya Negeri-negeri Naungan Siam Sebelah Barat, tuntutan ini telah ditolak oleh Raja Chulalongkorn. Seterusnya tanpa berputus asa, pihak Kesultanan Kedah mencuba lagi untuk menghilangkan identiti Perlis sebagai negeri yang tersendiri. Asas tuntutan ini didasarkan kepada perlaksanaan Sistem Thesaphiban oleh Kerajaan Siam. Melalui sistem ini, Sultan Abdul Hamid Halim Shah telah dilantik oleh Raja Chulalongkorn sebagai Pesuruhjaya Monthon Saiburi yang bertanggungjawab kepada Negeri Kedah, Negeri Perlis dan Negeri Setul mulai 17 Mei 1897. Justeru menerusi sistem ini, Kesultanan Kedah menganggap Perlis sudah dipulangkan kepada Kedah dan statusnya sebagai sebuah negeri dimansuhkan.

Untuk melancarkan pengembalian Negeri Perlis, pihak Kesultanan Kedah telah menghantar Syed Mansur al-Jafri ke Arau untuk menyelaraskan pentadbiran Perlis dengan Kedah. Bagi menghadapi situasi ini, Raja Syed Safi Jamalullail dan pembesar-pembesar Perlis telah mengambil tindakan memulaukan kerja-kerja pentadbiran yang dikemukakan oleh Syed Mansur. Dato’ Perdana Menteri Wan Mat Saman turut datang sendiri ke Arau untuk mengemukakan tuntutan. Meskipun begitu, tuntutan Kesultanan Kedah ini ditentang hebat oleh Raja Syed Safi Jamalullail yang bertegas menunjukkan Surat Tera dan alat kebesaran DiRaja yang dikurniakan kepada baginda oleh Raja Chulalongkorn. Walaupun tidak berlaku tindakan kekerasan atau pertumpahan darah, tuntutan ini sempat menimbulkan ‘perang dingin’ antara Kerajaan Perlis dengan Kesultanan Kedah.

Sebagai tindak balas, Raja Syed Safi Jamalullail telah mengutuskan menterinya Syed Salim Ibni Syed Muhammad al-Jafri ke Bangkok untuk melaporkan tindak tanduk pihak Kesultanan Kedah terhadap Kerajaan Perlis. Tidak cukup dengan itu, Raja Syed Safi Jamalullail turut membentangkan sendiri situasi yang berlaku ketika baginda mengadap Raja Chulalongkorn di Pulau Pinang sekembalinya dari lawatan ke Eropah. Sebagai penyelesaian kepada isu tuntutan Kesultanan Kedah terhadap Negeri Perlis ini, Raja Chulalongkorn telah mengeluarkan sepucuk surat yang mengesahkan hak Raja Syed Safi Jamalullail dan Wangsa Jamalullail kepada Takhta Kerajaan Perlis. Peristiwa ini berlaku pada awal tahun 1898. Kemudian pada awal tahun 1899, Raja Syed Safi Jamalullail telah menerima cop mohor yang baru daripada Raja Chulalongkorn. Pengurniaan cop mohor ini disokong kuat oleh Putera Damrong Rajanuphab selaku Pesuruhjaya Negeri-negeri Naungan Siam ketika itu. Oleh yang demikian, pengurniaan cop mohor ini telah menamatkan episod tuntutan Kesultanan Kedah terhadap Negeri Perlis.

Raja Syed Safi Jamalullail memang berjasa besar kepada pembangunan prasarana Negeri Perlis. Menerusi sistem kerah, baginda telah menggembleng tenaga rakyat Perlis untuk membina jalan raya dan terusan di negeri ini. Antara jalan yang berjaya dibina dengan pendekatan ini ialah Jalan Perlis-Kedah melalui Kodiang, Jalan Arau-Kangar, Jalan Kangar-Tebing Tinggi dan Jalan Kangar-Sanglang melalui Simpang Empat. Baginda turut berjasa membina tali air bernama Terusan Arau atau disebut juga Sungai Raja yang bermula dari Guar Sanji, melalui Tambun Tulang, Simpang Empat sehingga ke Sungai Baru. Wawasan dan pandangan jauh Raja Syed Safi adalah supaya penempatan rakyat dan kawasan pertanian baru dapat diwujudkan di kanan-kiri jalan raya dan terusan yang baginda bangunkan. Sumbangan baginda mendapat pengiktirafan daripada Penasihat British Perlis yang melaporkan: ‘The late Raja was a great road builder and all the existing roads were due to his energy in that direction’ [Raja terdahulu (iaitu Raja Syed Safi Jamalullail) adalah seorang pembina jalan raya yang hebat dan sehubungan dengan ini semua jalan yang wujud adalah hasil usaha baginda]. Baginda turut menaik taraf cara berniaga dan meningkatkan ekonomi orang Melayu Perlis. Hal ini dilakukan dengan pembinaan sebuah pasar tetap yang dinamakan ‘Pekan Baru’ di Kangar dan lebih terkenal dengan sebutan Market Kangar. Sebelum pembinaan pasar ini, orang Melayu hanya berniaga di pekan-pekan sehari yang dipanggil Nat.

Dalam sektor pendidikan, Raja Syed Safi Jamalullail telah meningkatkan usaha-usaha yang dimulakan semasa baginda menjadi Pemangku Raja kepada nendanya dahulu. Dengan titah baginda, Haji Kassim bin Haji Ali dan Haji Salleh bin Hassan telah mendirikan sekolah di Kangar pada tahun 1898. Pada tahun 1903 pula, sebuah sekolah di Kuala Perlis telah diasaskan oleh Penghulu Mohd. Said bin Haji Awang. Berbeza dengan baginda sendiri yang mendapat pendidikan melalui sistem pendidikan Siam, Raja Syed Safi Jamalullail menghantar putera-puteranya belajar di Sekolah Inggeris. Oleh itu, putera-putera baginda seperti Syed Alwi dan Syed Hamzah dihantar belajar di Pulau Pinang khasnya di Penang Free School.

Dalam aspek busana dan pemakaian, Raja Syed Safi Jamalullail mempopularkan pakaian ala Barat di Perlis. Baginda dan para pembesar Perlis memadankan seluar dan baju kot ala Barat dengan pemakaian songkok. Di bidang hiburan dan kesenian tradisional, Baginda telah menitahkan pembukaan sebuah pekan baru di Kampung Paya. Pekan ini dijadikan taman hiburan yang dibuka setahun sekali iaitu selepas rakyat selesai menuai padi. Untuk menghiburkan rakyat Perlis, banyak persembahan kebudayaan telah dipertunjukkan di sini. Sebuah istana yang dinamakan Tandiap turut didirikan untuk baginda bersemayam sementara baginda berhenti rehat di pekan baru ini. Raja Syed Safi Jamalullail mangkat pada tahun 1904 dan digantikan oleh anakandanya Syed Alwi.

Kredit : Dr. Hazman bin Hassan
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)


Raja Perlis Keempat :
Syed Alwi Jamalullail (1905-1943)

Raja Syed Alwi Jamalullail adalah putera Raja Syed Safi Jamalullail dengan Che Wan Saadiah. Nama asal Che Wan Saadiah adalah Michu yang merupakan anak keluarga Perdana Menteri Kerajaan Siam yang digelar Kelahom. Pada awalnya, baginda masih mengekalkan perkhidmatan pembesar-pembesar lantikan ayahanda baginda seperti Syed Salim al-Jafri, Syed Hassan Ibni Syed Alwi, Dato’ Wan Teh bin Dato’ Arau, Tengku Abdullah bin Tengku Mat Saman, Syed Abdullah Ibni Syed Alwi, Syed Abdullah Ibni Syed Ismail, Haji Kassim bin Haji Ali dan Wan Ishak bin Dato’ Wan Daud. Baginda turut melantik adinda baginda yang berlainan bonda, Syed Mahmud Ibni Syed Safi Jamalullail sebagai Raja Muda Perlis.

10ikon 5smallZaman pemerintahan Baginda menyaksikan Kerajaan Perlis mengalami kemerosotan sumber kewangan. Baginda memutuskan untuk meminjam wang berjumlah 230,000.00 ringgit daripada Kerajaan Siam. Hasrat ini dimeterai menerusi Perjanjian Hutang Perlis-Siam pada 4 Oktober 1905. Antara syarat-syarat perjanjian ini ialah Kerajaan Perlis mesti menerima seorang Penasihat Kewangan untuk ditempatkan di Perlis. Oleh itu, seorang pegawai British bernama A.H. Duke telah dihantar oleh Kerajaan Siam sebagai Penasihat Kewangan kepada Kerajaan Perlis. Krisis kewangan negeri nampaknya belum berakhir walaupun Kerajaan Perlis telah meminjam wang daripada Kerajaan Siam. Pinjaman tambahan sejumlah 150,000.00 ringgit lagi telah dimohon oleh Kerajaan Perlis dan diluluskan oleh Kerajaan Siam. Maka Perjanjian Hutang Perlis-Siam Kedua telah ditandatangani pada 25 Februari 1907.

Perlis State Council atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis juga telah ditubuhkan pada masa ini di mana baginda sendiri menjadi Pengerusi. Penasihat Kewangan British bertindak sebagai Setiausaha Majlis. Beberapa orang pembesar negeri turut dilantik menganggotainya. Mesyuarat kali pertama Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis telah diadakan pada 18 November 1905. Walau bagaimanapun keahlian majlis ini seterusnya silih berganti selaras dengan perubahan masa dan keperluan.

Pada 10 Mac 1909, Perjanjian Bangkok telah ditandatangani di antara Kerajaan British dengan Kerajaan Siam. Melalui perjanjian ini, Negeri Perlis bersama-sama Kedah, Kelantan dan Terengganu telah diserahkan oleh Kerajaan Siam kepada Kerajaan British. Semenjak itu, Kerajaan Perlis mula dinaungi secara tidak rasmi oleh British dan tidak lagi berada di bawah naungan Siam. Selepas Perjanjian Bangkok 1909, baki hutang Kerajaan Perlis kepada Kerajaan Siam telah ditanggung oleh Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor). Perjanjian Bangkok 1909 memberi kuasa kepada British untuk menghantar Pegawai Penasihat untuk menasihati Raja Syed Alwi Jamalullail dalam semua urusan kecuali berkenaan Agama Islam dan adat istiadat Melayu. Penasihat British pertama yang dihantar ke Perlis adalah Meadow Frost yang mula berkhidmat pada 15 Julai 1909. Penasihat-penasihat British lain yang pernah berkhidmat di Negeri Perlis adalah J.G Richey, H.C Eckhardt, E.W.N Wyatt, T.W Clayton, J.W.W Hughes, P.S Williams, L.A Allen, M.C Hay, O.E Venables, C.R Howitt, C.W Dawson dan E.V.G Day. Cavendish dan C.M Laidlaw pula pernah memegang jawatan Pemangku Penasihat British Perlis. Sementara itu, secara ansuran Kerajaan Perlis membayar balik wang yang ditampung oleh Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu sehingga selesai pada tahun 1929. Setelah selesai urusan pembayaran hutang, baharulah Kerajaan British bersetuju menaungi Negeri Perlis secara rasmi. Justeru pada 28 April 1930, Perjanjian Perlis-British telah ditandatangani bagi menzahirkan tujuan ini.

Garis sempadan Negeri Perlis yang terpakai hingga ke hari ini juga telah dimuktamadkan semasa zaman pemerintahan Raja Syed Alwi Jamalullail. Hasil proses penyukatan dan penandaan sempadan Perlis dengan Setul, Kerajaan Perlis telah kehilangan kawasan Puju yang dimasukkan ke dalam wilayah Setul, Thailand. Sebelumnya, Puju ditadbir oleh Kerajaan Perlis melalui Penghulu Kuala Perlis. Selain itu, sempadan baru Perlis-Kedah pula dimuktamadkan dengan kerja-kerja pengukuran sempadan pada tahun 1913.

Baginda telah menambahkan usaha permodenan pentadbiran Negeri Perlis dengan menubuh dan menaik taraf Agensi Kerajaan Negeri seperti Pejabat Raja dan Penasihat, Pejabat Audit, Pejabat Hasil dan Cukai, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rendah, Mahkamah Kadi, Balai Polis, Perbendaharaan Negeri, Pejabat Tanah, Pejabat Pelajaran, Penjara dan lain-lain. Kerja-kerja penurapan Jalan Kangar-Arau dan Jalan Kangar-Tasoh serta pengwujudan perkhidmatan keretapi yang menghubungkan Perlis dengan Siam dan juga dengan negeri-negeri lain di Tanah Melayu pada tahun 1916 merupakan antara inisiatif baginda untuk membangunkan Perlis. Demikian juga permulaan bekalan air paip sekitar Bandar Kangar, Jawatankuasa Pelajaran, Syarikat Kerjasama atau Koperasi, Sanitary Board atau Lembaga Kebersihan, Sistem Pungutan Zakat dan Fitrah, Pameran Pertanian Negeri, Pasukan Pengakap serta Perlis Volunteer Force diwujudkan pada zaman pemerintahan baginda. Mercu tanda bersejarah Negeri Perlis yang masih kekal sehingga hari ini antaranya Masjid Alwi, Ibu Pejabat Kerajaan Negeri Perlis (bangunan menara jam), al-Madrasah al-Alawiyyah al-Diniyyah dan Istana Arau juga dibina di zaman Raja Syed Alwi Jamalullail.

Molek juga dinyatakan bahawa Raja Syed Alwi Jamalullail merupakan Raja Perlis yang terakhir mempersembahkan ufti Bunga Emas kepada Raja Siam. Baginda juga merupakan satu-satunya Raja Perlis yang mempersembahkan ufti Bunga Emas kepada Raja England. Beberapa pingat kebesaran seperi C.B.E, C.M.G dan K.B.E telah dianugerahkan oleh Kerajaan British kepada baginda. Disebabkan baginda tidak memiliki zuriat, Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis yang bersidang pada 6 Disember 1934 telah berbincang dan bersetuju mengangkat anakanda saudara baginda iaitu Syed Hassan Ibni Syed Mahmud Ibni Syed Safi Jamalullail sebagai Bakal Raja Perlis. Apabila Syed Hassan mangkat pada 18 Ogos 1935, Perlis telah kehilangan Bakal Rajanya. Lantaran itu, Majlis yang bersidang pada 30 April 1938 telah bermuafakat untuk mengangkat anakanda Syed Hassan yang bernama Syed Putra sebagai Bakal Raja Perlis.
Pada 12 Disember 1941, tentera Jepun telah memasuki Negeri Perlis diketuai oleh Kapten E. Hirota. Memandangkan ketika itu Raja Syed Alwi Jamalullail berada di luar Negeri Perlis, Kapten E. Hirota telah mengarahkan Syed Hamzah menubuhkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang dinaungi oleh Kerajaan Militari Jepun. Dalam Majlis ini, Syed Hamzah bertindak sebagai Presiden. Apabila Raja Syed Alwi Jamalullail berangkat balik ke Perlis, baginda mengambil kembali jawatan Presiden Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis. Syed Hamzah pula kembali ke kedudukan Naib Presiden. Dengan sokongan Kerajaan Jepun, perisytiharan melucutkan kedudukan Syed Putra Ibni Syed Hassan sebagai Bakal Raja Perlis telah dikeluarkan pada 11 Januari 1942. Serentak dengan itu, perisytiharan yang sama memahsyurkan Syed Hamzah sebagai Bakal Raja Perlis yang baru. Dalam suasana kekalutan Negeri Perlis akibat Perang Dunia Kedua, Raja Syed Alwi Jamalullail mangkat pada 2 Februari 1943. Tidak seperti yang diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis, adinda seayahanda Raja Syed Alwi Jamalullail iaitu Syed Hamzah pula yang diangkat menjadi Raja Perlis oleh pihak berkuasa Jepun.

Kredit : Dr. Hazman bin Hassan
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)


Raja Perlis Kelima :
Raja Syed Hamzah Jamalullail (1943-1945)

Baginda adalah putera Raja Syed Safi Jamalullail dengan Che Shamsiah binti Lebai Mat Amin. Ini bermakna baginda adalah saudara seayahanda dengan Raja Syed Alwi Jamalullail. Selepas kemangkatan Raja Muda Syed Mahmud Ibni Syed Safi Jamalullail, baginda mula aktif membantu urusan pentadbiran Negeri Perlis dengan menjadi Naib Presiden Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis. Baginda juga bertindak sebagai Pengerusi kepada beberapa jawatankuasa di bawah Kerajaan Perlis, antaranya Jawatankuasa Pelajaran Negeri Perlis.

10ikon 7smallSemenjak April 1943, Kerajaan Jepun mula mengamalkan dasar pengiktirafan rasmi kepada kuasa Raja-raja Melayu dan zaman pemerintahan Raja Syed Hamzah Jamalullail amat sinonim dengan penderitaan yang bermaharajalela. Kebuluran merebak, harga barang-barang melambung tinggi dan hasil padi dirampas oleh Tentera Jepun. Perusahaan getah dan perlombongan bijih timah tergendala. Pendidikan yang diteruskan di sekolah-sekolah diubah orientasinya kepada pengagungan Jepun sebagai ‘Pelindung Bangsa Asia, Pemimpin Bangsa Asia dan Cahaya Asia’. Sebagai balasan kepada Kerajaan Siam di bawah pimpinan Perdana Menteri Phibul Songkhram yang memberikan kerjasama penuh sehingga penaklukan Jepun ke atas Tanah Melayu mendapat kejayaan besar, Negeri-negeri Melayu Utara Semenanjung dikembalikan kepada pentadbiran Kerajaan Siam. Tanpa persetujuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis pun, negeri ini bersama-sama Kedah, Kelantan dan Terengganu telah diserahkan semula oleh Kerajaan Jepun kepada Kerajaan Siam untuk ditadbir sebagai ‘caretaker government’. Kesemua negeri-negeri ini diletakkan di bawah pentadbiran seorang Pesuruhjaya Tinggi Tentera Siam yang bertanggungjawab kepada semua urusan kecuali Agama Islam dan adat istiadat Melayu. Beliau digelar Khaluang Tahan Besar dan beribu pejabat di Alor Setar. Di Perlis, seorang pembantu Khaluang Tahan Besar dengan gelaran Khaluang Tahan Phra’ Chamrat telah ditempatkan.

Kerajaan Siam memanggil Majlis Mesyuarat Kerajaan Perlis sebagai Muntri Spa Perlis. Raja Syed Hamzah Jamalullail menjadi Pengerusi Muntri Spa Perlis manakala pembesar-pembesar Perlis yang lain menjadi ahlinya. Baginda bertanggungjawab kepada Khaluang Tahan Besar dan Khaluang Tahan Phra’ Chamrat. Pegawai-pegawai Siam yang ditempatkan di Perlis kebanyakannya kurang mahir, kurang berdisiplin dan buruk perangai. Ada pula askar-askar Siam yang merayau di kampung-kampung dengan menjalankan kegiatan mencuri, menceroboh dan mengganas bagi membiayai aktiviti berjudi dan minum arak mereka. Walaupun ditadbir oleh Kerajaan Siam, Tentera Jepun masih terus ditempatkan di beberapa kawasan strategik sekitar Negeri Perlis.

Apabila Jepun menyerah kalah pada 15 September 1945, Bintang Tiga atau nama penuhnya Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) yang dianggotai oleh majoriti ahli-ahli daripada etnik Cina bermaharajalela di Perlis selama seminggu sebelum British benar-benar kembali berkuasa. Kumpulan ini mengganas dengan membunuh dan membalas dendam terhadap orang-orang Melayu yang dituduh sebagai tali barut Jepun. Pentadbiran Tentera British atau British Military Administration (BMA) mula dilaksanakan di Perlis dengan pimpinan Mejar D. Burr. Sesudah itu barulah Penasihat British iaitu E.V.G Day sampai ke negeri ini. Walau bagaimanapun, BMA yang diketuai oleh Lord Mountbatten enggan mengiktiraf status Raja Syed Hamzah Jamalullail sebagai Raja Perlis. Sebaliknya British berusaha memulihkan kembali kedudukan Syed Putra yang dilantik sebagai Bakal Raja Perlis pada 30 April 1938. Dengan itu, Raja Syed Hamzah Jamalullail dikehendaki untuk menuruni takhta. Baginda meninggalkan Istana Arau untuk berpindah ke Setul dan kemudiannya ke Alor Setar sehingga akhir hayatnya. Pada tahun 1958, Raja Syed Hamzah Ibni Syed Safi Jamalullail mangkat.

Kredit : Dr. Hazman bin Hassan
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)


Raja Perlis Keenam :
DYMM Tuanku Syed Putra Jamalullail (1945-2000)

Baginda adalah putera kepada Syed Hassan Ibni Syed Mahmud Jamalullail dengan isterinya Puan Wan Teh binti Endut. Di sebelah ayahandanya, baginda adalah cucunda saudara kepada Raja Syed Alwi Jamalullail (Raja Perlis keempat) dan cicit kepada Raja Syed Safi Jamalullail (Raja Perlis ketiga). Kedatangan semula British selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua telah menyaksikan baginda diangkat semula sebagai Raja Perlis keenam pada 4 Disember 1945. Meskipun demikian, baginda hanya dapat ditabalkan secara rasmi pada 12 Mac 1949. Pesuruhjaya Tinggi British bagi Persekutuan Tanah Melayu, Sir Henry Gurney turut hadir sebagai wakil kepada Raja England. Sebaik sahaja baginda diperakukan sebagai Raja Perlis yang sah, baginda terus berdepan dengan dugaan yang sangat besar. Hal ini berlaku apabila baginda dipaksa menandatangani Perjanjian Malayan Union oleh Sir Harold Mac Michael, wakil Kerajaan British. Baginda didesak untuk menyerahkan kedaulatan Kerajaan Perlis, namun baginda menolak. Tambahan pula kandungan Perjanjian Malayan Union amat bertentangan dengan Perjanjian Perlis-British 1930 yang telah dimeterai terlebih dahulu oleh Raja Syed Alwi Jamalullail. Dalam situasi ini, baginda didampingi oleh para pembesar negeri seperti Haji Ahmad Mohamad, Wan Ahmad Wan Daud dan Syeikh Ahmad Mohd. Hashim yang turut memprotes tindakan Mac Michael. Akhirnya baginda diugut oleh Mac Michael mengatakan British masih boleh mendapatkan tandatangan daripada individu lain dengan cara menurunkan baginda daripada takhta Kerajaan Perlis. Dengan berat hati, baginda menurunkan juga tandatangan ke atas Perjanjian Malayan Union. Walaupun begitu, baginda dengan serta-merta mengirimkan bantahan kepada Kerajaan British di London. Bersama-sama dengan Raja-raja Melayu yang lain, baginda telah memulaukan upacara perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union sebagai tanda protes.

10ikon 8smallBaginda diberikan sokongan padu oleh orang Melayu Perlis dalam penentangan terhadap Malayan Union. Kesedaran politik orang Melayu Perlis bertambah sistematik menerusi penubuhan Kelab Indera Kayangan. Nasionalisme Melayu Perlis mencapai kemuncaknya apabila Persatuan Melayu Perlis ditubuhkan untuk membela kepentingan sosio-ekonomi dan politik orang Melayu. Persatuan Melayu Perlis telah bergabung bersama dengan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang lain dari seluruh Semenanjung sehingga tertubuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Menerusi UMNO Pusat dan juga UMNO Perlis, anak-anak watan Perlis menentang gagasan Malayan Union untuk mengembalikan kedaulatan Raja mereka. Matlamat ini tercapai apabila Perlembagaan Malayan Union digantikan dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, baginda telah dibantu oleh seorang pegawai Melayu daripada Perkhidmatan Awam Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang digelar Menteri Besar untuk mengetuai pentadbiran negeri bagi pihak baginda. Penasihat British Perlis pun diturunkan tarafnya di bawah Menteri Besar Perlis. Maka mulai 1 Februari 1948, Raja Haji Ahmad bin Raja Endut dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang pertama.

Baginda mengasaskan perlembagaan Negeri Perlis yang pertama disebut sebagai Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis pada 1 Februari 1948. Inilah dokumen yang dianggap sebagai Perlembagaan Bertulis bagi Kerajaan Perlis buat julung-julung kalinya. Di dalamnya terkandung 78 perkara, antara lainnya menyentuh garis panduan pemerintahan baginda sebagai Raja Berperlembagaan. Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis ini selesai disempurnakan pada 26 Mac 1959. Upacara pengurniaan dan penetapan undang-undang tubuh ini turut disaksi dan ditandatangani oleh lima orang pembesar Perlis iaitu Syed Hussein Ibni Syed Zain Jamalullail (Wakil Raja), Dato’ Laksamana Mohd. Razali bin Mohd. Ali Wasi (Menteri Besar), Haji Ahmad Muhammad, Wan Ahmad bin Wan Daud dan Syeikh Ahmad Mohd. Hashim. Baginda turut berjasa besar mengkanunkan dan mengembangkan lagi Agama Islam Ahli Sunnah Wal Jama’ah sebagai agama bagi Negeri Perlis. Ini telah ditegaskan dalam Perkara 5 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis yang dikurniakan oleh baginda. Justeru pada zaman pemerintahan baginda, segala perkara berkaitan Agama Islam dan adat istiadat Melayu di Negeri Perlis telah diselaraskan menurut tuntutan manhaj Ahli Sunnah Wal Jama’ah dalam Perkara 5 ini.

Pada bulan April 1960, baginda dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-raja Melayu. Apabila Yang di-Pertuan Agong pada masa itu, Sultan Hishamuddin Alam Shah gering dari bulan Julai sehingga Ogos 1960, baginda dilantik sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong. Untuk menjalankan pemerintahan Kerajaan Perlis, baginda telah memperkenankan sebuah Jemaah Pemangku Raja dilantik menurut Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis. Pada 7 Ogos 1960, jemaah ini dilantik dan dianggotai oleh Dr. Syed Mahmood Ibni Syed Hussain Jamalullail (Yang Dipertua Jemaah Pemangku Raja), Haji Ahmad bin Muhammad dan Syed Hussain Ibni Syed Zain Jamalullail. Ekoran kemangkatan Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1960, baginda telah dipilih oleh Majlis Raja-raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ketiga. Oleh yang demikian, sebuah lagi Jemaah Pemangku Raja dilantik pada tarikh yang sama. Kali ini Jemaah Pemangku Raja Perlis dianggotai oleh Dr. Syed Mahmood Ibni Syed Hussain Jamalullail (Yang Dipertua Jemaah Pemangku Raja), Haji Ahmad bin Muhammad, Syed Hussain Ibni Syed Zain Jamalullail dan Syed Abu Bakar Ibni Syed Hussain al-Jafri. Selepas dua tahun Jemaah Pemangku Raja ini menjalankan tugas, baginda berkenan melanjutkan perkhidmatan mereka mulai 21 September 1962 sehingga 31 Disember 1962. Serentak dengan tarikh 31 Disember 1962, baginda melantik YTM Tengku Suleiman Ibni Tengku Bendahara Abu Bakar, menantu baginda yang mengahwini puteri sulung baginda, YTM Sharifah Salwa binti Tuanku Syed Putra sebagai Pemangku Raja Perlis yang baru. YTM Tengku Suleiman menjalankan tugas-tugas Pemangku Raja sehingga baginda menamatkan perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 September 1965.

Baginda merupakan Raja Perlis yang menandatangani Perjanjian Persekutuan 1948 dan sekaligus mengesahkan kemasukan Perlis ke dalam Persekutuan Tanah Melayu. Secara teknikal, baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong terakhir kepada Malaya. Apabila tertubuhnya Persekutuan Malaysia dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963, baginda juga menjadi Yang di-Pertuan Agong pertama bagi Malaysia. Ini juga bermakna baginda juga satu-satunya raja kepada Singapura dalam sejarah modennya yakni semasa Singapura masih berada dalam Persekutuan Malaysia. Baginda turut menjadi tonggak kekuatan kepada seluruh Malaysia apabila negara berada dalam Konfrontasi dengan Republik Indonesia pada tahun 1965. Banyak daripada mercu tanda kemegahan negara seperti Bangunan Parlimen, Masjid Negara, Stadium Negara, Muzium Negara dan Lapangan Terbang Subang telah dirasmikan oleh baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ketiga.

Baginda turut diberikan penghormatan menjadi Kolonel Yang Dipertua Pasukan Renjer DiRaja serta Canselor Universiti Sains Malaysia (USM). Pada tahun 1986, baginda memperkenankan penubuhan Yayasan Tuanku Syed Putra bagi membantu rakyat Perlis melanjutkan pelajaran. Baginda juga merupakan Raja Perlis pertama yang berangkat melawat pelbagai destinasi di seluruh dunia. Baginda mangkat pada 16 April 2000 dan pemerintahan baginda selama 55 tahun mencatatkan nama baginda sebagai salah seorang raja berdaulat yang paling lama bertakhta di seluruh dunia pada zamannya. Baginda digantikan oleh anakandanya, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Kredit : Dr. Hazman bin Hassan
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)


Raja Perlis Keenam :
DYMM Tuanku Syed Putra Jamalullail (1945-2000)

Baginda adalah putera kepada Syed Hassan Ibni Syed Mahmud Jamalullail dengan isterinya Puan Wan Teh binti Endut. Di sebelah ayahandanya, baginda adalah cucunda saudara kepada Raja Syed Alwi Jamalullail (Raja Perlis keempat) dan cicit kepada Raja Syed Safi Jamalullail (Raja Perlis ketiga). Kedatangan semula British selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua telah menyaksikan baginda diangkat semula sebagai Raja Perlis keenam pada 4 Disember 1945. Meskipun demikian, baginda hanya dapat ditabalkan secara rasmi pada 12 Mac 1949. Pesuruhjaya Tinggi British bagi Persekutuan Tanah Melayu, Sir Henry Gurney turut hadir sebagai wakil kepada Raja England. Sebaik sahaja baginda diperakukan sebagai Raja Perlis yang sah, baginda terus berdepan dengan dugaan yang sangat besar. Hal ini berlaku apabila baginda dipaksa menandatangani Perjanjian Malayan Union oleh Sir Harold Mac Michael, wakil Kerajaan British. Baginda didesak untuk menyerahkan kedaulatan Kerajaan Perlis, namun baginda menolak. Tambahan pula kandungan Perjanjian Malayan Union amat bertentangan dengan Perjanjian Perlis-British 1930 yang telah dimeterai terlebih dahulu oleh Raja Syed Alwi Jamalullail. Dalam situasi ini, baginda didampingi oleh para pembesar negeri seperti Haji Ahmad Mohamad, Wan Ahmad Wan Daud dan Syeikh Ahmad Mohd. Hashim yang turut memprotes tindakan Mac Michael. Akhirnya baginda diugut oleh Mac Michael mengatakan British masih boleh mendapatkan tandatangan daripada individu lain dengan cara menurunkan baginda daripada takhta Kerajaan Perlis. Dengan berat hati, baginda menurunkan juga tandatangan ke atas Perjanjian Malayan Union. Walaupun begitu, baginda dengan serta-merta mengirimkan bantahan kepada Kerajaan British di London. Bersama-sama dengan Raja-raja Melayu yang lain, baginda telah memulaukan upacara perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union sebagai tanda protes.

10ikon 9smallBaginda diberikan sokongan padu oleh orang Melayu Perlis dalam penentangan terhadap Malayan Union. Kesedaran politik orang Melayu Perlis bertambah sistematik menerusi penubuhan Kelab Indera Kayangan. Nasionalisme Melayu Perlis mencapai kemuncaknya apabila Persatuan Melayu Perlis ditubuhkan untuk membela kepentingan sosio-ekonomi dan politik orang Melayu. Persatuan Melayu Perlis telah bergabung bersama dengan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang lain dari seluruh Semenanjung sehingga tertubuhnya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Menerusi UMNO Pusat dan juga UMNO Perlis, anak-anak watan Perlis menentang gagasan Malayan Union untuk mengembalikan kedaulatan Raja mereka. Matlamat ini tercapai apabila Perlembagaan Malayan Union digantikan dengan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, baginda telah dibantu oleh seorang pegawai Melayu daripada Perkhidmatan Awam Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang digelar Menteri Besar untuk mengetuai pentadbiran negeri bagi pihak baginda. Penasihat British Perlis pun diturunkan tarafnya di bawah Menteri Besar Perlis. Maka mulai 1 Februari 1948, Raja Haji Ahmad bin Raja Endut dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang pertama.

Baginda mengasaskan perlembagaan Negeri Perlis yang pertama disebut sebagai Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis pada 1 Februari 1948. Inilah dokumen yang dianggap sebagai Perlembagaan Bertulis bagi Kerajaan Perlis buat julung-julung kalinya. Di dalamnya terkandung 78 perkara, antara lainnya menyentuh garis panduan pemerintahan baginda sebagai Raja Berperlembagaan. Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis ini selesai disempurnakan pada 26 Mac 1959. Upacara pengurniaan dan penetapan undang-undang tubuh ini turut disaksi dan ditandatangani oleh lima orang pembesar Perlis iaitu Syed Hussein Ibni Syed Zain Jamalullail (Wakil Raja), Dato’ Laksamana Mohd. Razali bin Mohd. Ali Wasi (Menteri Besar), Haji Ahmad Muhammad, Wan Ahmad bin Wan Daud dan Syeikh Ahmad Mohd. Hashim. Baginda turut berjasa besar mengkanunkan dan mengembangkan lagi Agama Islam Ahli Sunnah Wal Jama’ah sebagai agama bagi Negeri Perlis. Ini telah ditegaskan dalam Perkara 5 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis yang dikurniakan oleh baginda. Justeru pada zaman pemerintahan baginda, segala perkara berkaitan Agama Islam dan adat istiadat Melayu di Negeri Perlis telah diselaraskan menurut tuntutan manhaj Ahli Sunnah Wal Jama’ah dalam Perkara 5 ini.

Pada bulan April 1960, baginda dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-raja Melayu. Apabila Yang di-Pertuan Agong pada masa itu, Sultan Hishamuddin Alam Shah gering dari bulan Julai sehingga Ogos 1960, baginda dilantik sebagai Pemangku Yang di-Pertuan Agong. Untuk menjalankan pemerintahan Kerajaan Perlis, baginda telah memperkenankan sebuah Jemaah Pemangku Raja dilantik menurut Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis. Pada 7 Ogos 1960, jemaah ini dilantik dan dianggotai oleh Dr. Syed Mahmood Ibni Syed Hussain Jamalullail (Yang Dipertua Jemaah Pemangku Raja), Haji Ahmad bin Muhammad dan Syed Hussain Ibni Syed Zain Jamalullail. Ekoran kemangkatan Yang di-Pertuan Agong pada 21 September 1960, baginda telah dipilih oleh Majlis Raja-raja Melayu sebagai Yang di-Pertuan Agong yang ketiga. Oleh yang demikian, sebuah lagi Jemaah Pemangku Raja dilantik pada tarikh yang sama. Kali ini Jemaah Pemangku Raja Perlis dianggotai oleh Dr. Syed Mahmood Ibni Syed Hussain Jamalullail (Yang Dipertua Jemaah Pemangku Raja), Haji Ahmad bin Muhammad, Syed Hussain Ibni Syed Zain Jamalullail dan Syed Abu Bakar Ibni Syed Hussain al-Jafri. Selepas dua tahun Jemaah Pemangku Raja ini menjalankan tugas, baginda berkenan melanjutkan perkhidmatan mereka mulai 21 September 1962 sehingga 31 Disember 1962. Serentak dengan tarikh 31 Disember 1962, baginda melantik YTM Tengku Suleiman Ibni Tengku Bendahara Abu Bakar, menantu baginda yang mengahwini puteri sulung baginda, YTM Sharifah Salwa binti Tuanku Syed Putra sebagai Pemangku Raja Perlis yang baru. YTM Tengku Suleiman menjalankan tugas-tugas Pemangku Raja sehingga baginda menamatkan perkhidmatan sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 20 September 1965.

Baginda merupakan Raja Perlis yang menandatangani Perjanjian Persekutuan 1948 dan sekaligus mengesahkan kemasukan Perlis ke dalam Persekutuan Tanah Melayu. Secara teknikal, baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong terakhir kepada Malaya. Apabila tertubuhnya Persekutuan Malaysia dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963, baginda juga menjadi Yang di-Pertuan Agong pertama bagi Malaysia. Ini juga bermakna baginda juga satu-satunya raja kepada Singapura dalam sejarah modennya yakni semasa Singapura masih berada dalam Persekutuan Malaysia. Baginda turut menjadi tonggak kekuatan kepada seluruh Malaysia apabila negara berada dalam Konfrontasi dengan Republik Indonesia pada tahun 1965. Banyak daripada mercu tanda kemegahan negara seperti Bangunan Parlimen, Masjid Negara, Stadium Negara, Muzium Negara dan Lapangan Terbang Subang telah dirasmikan oleh baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ketiga.

Baginda turut diberikan penghormatan menjadi Kolonel Yang Dipertua Pasukan Renjer DiRaja serta Canselor Universiti Sains Malaysia (USM). Pada tahun 1986, baginda memperkenankan penubuhan Yayasan Tuanku Syed Putra bagi membantu rakyat Perlis melanjutkan pelajaran. Baginda juga merupakan Raja Perlis pertama yang berangkat melawat pelbagai destinasi di seluruh dunia. Baginda mangkat pada 16 April 2000 dan pemerintahan baginda selama 55 tahun mencatatkan nama baginda sebagai salah seorang raja berdaulat yang paling lama bertakhta di seluruh dunia pada zamannya. Baginda digantikan oleh anakandanya, DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Kredit : Dr. Hazman bin Hassan
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)

Istana Perlis

Istana Perlis aIstana Perlis ialah istana hinggap DYMM Tuanku Raja Perlis di Kuala Lumpur. Istana ini terletak di Jalan Eaton dan menjadi tempat persemayaman Baginda dan kerabat diraja Perlis apabila berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan majlis-majlis keraian lain di ibu negara.

Tapak Istana Perlis pada asalnya ialah sebuah bangunan kerajaan yang beralamat JKR1863, Kia Peng Road, Kuala Lumpur. Sebagai menjunjung titah perkenan DYMM Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Negeri Perlis ketika itu, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju merizabkan tapak berkenaan sebagai istana untuk kegunaan DYMM Tuanku Raja Perlis dan perkara ini telah disembah maklum oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tn. Hj. Mustapha Al-Bakri melalui surat bertarikh 14 April 1951.

Pada tahun 2011, bangunan istana ini telah diroboh dan kerja-kerja pembinaan semula dilaksanakan setelah mengambil kira keadaan fizikal bangunan dan keperluan keselamatan semasa. Pembinaan semula Istana Perlis melibatkan tiga (3) blok bangunan termasuk sebuah blok asrama pekerja bagi menempatkan pegawai dan kakitangan istana yang bertugas di sini. Selain itu, istana ini turut mempunyai Bilik Mengadap bagi acara mengadap oleh Orang Kenamaan dan tetamu Duli-Duli Tuanku. Seni bina dan kemasan istana ini mendapat perkenan pilihan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sendiri serta dihiasi dengan potret dan koleksi cenderakenangan yang kebanyakannya dipersembahkan kepada Baginda semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong XII.

Istana Arau

istanadirajaIstana Arau yang terletak di Arau, Perlis ialah istana rasmi tempat persemayaman DYMM Tuanku Raja Perlis. Sejarah istana ini bermula sekitar tahun 1905 semasa pemerintahan Raja Perlis Ke-4 iaitu Raja Syed Alwi Jamalullail (1905-1943) yang terkenal dengan wawasan Baginda untuk memodenkan sistem pentadbiran kerajaan negeri. Antara inisiatif Baginda dalam memajukan negeri ini termasuklah menubuhkan institusi-institusi kerajaan, mewujudkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dan membina bangunan mercu tanda negeri Perlis seperti Bangunan Jam Besar, Masjid Alwi, dan Istana Arau.

Titah perkenan Raja Syed Alwi bagi pembinaan Istana Arau sebenarnya telah mengukuhkan institusi diraja Perlis dan hak wangsa Jamalullail kepada takhta kerajaan negeri Perlis di mana beberapa tahun sebelum itu menyaksikan Ayahanda Baginda, Raja Syed Safi Jamalullail telah berjaya menyelesaikan isu tuntutan oleh Kerajaan Negeri Kedah.

Istana Arau seperti istana-istana rasmi yang lain mempunyai beberapa ruang khas dengan fungsi tertentu. Balairung Seri yang terletak di tingkat atas mempunyai Singgahsana Diraja dan berfungsi sebagai tempat berlangsungnya istiadat-istiadat kebesaran seperti Istiadat Pertabalan dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri. Dewan Bankuet yang terletak di tingkat bawah pula adalah ruang bagi Majlis Santapan Negeri dan majlis-majlis jamuan lain yang diperkenankan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis. Selain itu, Istana Arau mempunyai beberapa Bilik Mengadap bagi acara mengadap oleh Duta-Duta dan Orang Kenamaan serta majlis pengurniaan watikah atau tauliah tertentu.

Istana Arau Tahun 1940Dari tahun ke tahun, terdapat beberapa pengubahsuaian dan penambahbaikan di Istana Arau selaras dengan keperluan semasa. Pada tahun 2010, Istana Arau telah diwartakan sebagai Tapak Warisan mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005 dan menyaksikan Kerajaan Negeri Perlis terus memberi perhatian terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan Istana Arau.

Sungguhpun istana adalah sebuah kawasan larangan bagi orang awam, atas limpah perkenan DYMM Tuanku Raja Perlis perkarangan Istana Arau dibuka kepada rakyat jelata semasa program Malam Kilauan Cahaya sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda sejak tahun 2014. Acara ini telah menjadi acara tahunan dan menarik ribuan pengunjung bagi menikmati keindahan lampu hiasan dan landskap serta pelbagai persembahan yang menarik di Istana Arau.

DYTM Tuanku Raja Puan Muda Perlis

dytm p frame

DULI YANG TERAMAT MULIA
TUANKU HAJJAH LAILATUL SHAHREEN AKASHAH KHALIL

S.P.M.P.
DOCTOR OF EDUCATION (HONORIS CAUSA) IN HEALTH SCIENCES, UNIVERSIDAD NACIONAL PEDRO
HENRIQUEZ URENA, REPUBLIK DOMINICA

RAJA PUAN MUDA PERLIS

Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diputerikan pada 28 Mac 1970 di Hospital Besar Kuala Lumpur hasil perkahwinan Dato’ Khalil bin Akasah dengan Datin Nik Rahimah binti Wan Ahmad. Baginda merupakan puteri kedua daripada empat orang adik beradik perempuan.

Sepintas Lalu
Selepas mendapat pendidikan awal di Sekolah Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur dari tahun 1977 hingga 1984, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil meneruskan persekolahan di Merton Hall-Melbourne Girls Grammar School, Melbourne, Australia sehingga tahun 1988. Baginda kemudiannya melanjutkan pengajian di La Trobe University, Melbourne, Australia pada tahun 1989 dalam jurusan Sains Kemanusiaan. Tidak terhenti setakat itu, Baginda mengambil inisiatif untuk meneruskan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Sarjana Pentadbiran Awam sebelum menamatkan pengajian pada tahun 2014. Pada masa ini, Baginda dalam proses untuk menggenggam segulung Ijazah Falsafah Kedoktoran dalam bidang Pengajian Islam dari Universiti Malaya. Terdahulu, Baginda pernah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat (Honoris Causa) dalam bidang Sains Kesihatan daripada Universidad Nacional Pedro Henriquez Urena, Republik Dominica. Baginda turut berpeluang menghadiri kursus asas Bahasa Mandarin, Perancis, Sepanyol dan Jerman sebelum ini.

Terbinanya Mahligai Cinta
Selepas menamatkan pengajian, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pernah menabur jasa di syarikat milik ayahanda Baginda, ASIE Sdn. Bhd. sebagai Pengurus Pentadbiran dari tahun 1992 hingga 1995. Lebih kurang 6 tahun menyulam kasih, Baginda mendirikan mahligai setelah diijabkabulkan dengan Tuanku Syed Faizuddin Putra pada tanggal 9 Mei 1994 sebagai bukti ikatan cinta yang tersimpul rapi. Setahun berlalu, Baginda kemudiannya mengambil keputusan meletakkan jawatan di ASIE Sdn. Bhd. supaya dapat memberikan sepenuh perhatian kepada rumahtangga dan mengiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra ke Madrid, Sepanyol apabila Baginda ditukarkan ke sana. Hasil perkahwinan, Baginda berdua telah dikurniakan dua orang puteri serta seorang putera iaitu YAM Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail (10 Februari 1995), YAM Sharifah Farah Adriana Jamalullail (4 Mac 2001) dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail (12 April 2009). Walau pun sesudah berumahtangga, Baginda masih meneruskan minat dan bakat yang sekian lama terpendam. Selain membaca, melukis dan berseni, Baginda meminati sukan luncur ais, jet ski dan berenang. Baginda pernah mengambil bahagian dalam Perlis Marathon pada tahun 2015 dan 2016 serta Spartan Race 2016.

Resam Melentur Buluh
Pendidikan awal kanak-kanak mampu menyediakan generasi yang mempunyai ketahanan untuk menghadapi cabaran dari aspek fizikal dan mental, menumpukan perhatian dan membina daya keintelektualan. Menyedari hakikat tersebut, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil amat memberikan perhatian kepada aspek berkenaan. Selaku Penaung Smart Reader Worldwide misalnya, Baginda tidak pernah jemu untuk mengutarakan idea agar sistem pendidikan awal kanak-kanak yang dibangunkan lebih teratur dan mantap. Baginda juga tidak pernah melupakan kanak-kanak yang kurang bernasib baik terutama golongan autisme. Sebagai Penaung Persatuan Kebangsaan Austime Malaysia Cawangan Perlis, Baginda telah memulakan inisiatif bagi mengumpul dana agar sebuah pusat autistik (A-Heart Centre) dapat dibangunkan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Pusat ini diharapkan dapat menyediakan platform yang terbaik untuk memberikan penjagaan serta pendidikan yang lebih sempurna kepada golongan istimewa ini kelak. Baginda dalam pada masa yang sama turut menaungi Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia.

Di Puncak Menara Gading
Setelah diperkenan oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Canselor UniMAP, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dilantik sebagai Pro Canselor UniMAP yang pertama pada 28 Jun 2009 sehingga ke hari ini. Baginda merupakan individu penting yang menyokong inisiatif DYTM Tuanku Canselor dalam merangka strategi bagi memastikan keterlihatan UniMAP selain meningkatkan kebolehpasaran graduannya. Idea-idea yang dilontarkan Baginda sering kali menjadi rujukan untuk memastikan UniMAP mengekalkan momentum kecemerlangannya. Sebagai Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) pula, Baginda acap kali menekankan kepentingan pemerkasaan golongan wanita untuk menjadi lebih cemerlang. Ianya selari dengan matlamat penubuhan YTF itu sendiri iaitu Women in Search of Excellence. Memasuki tahun kedua, YTF telah berkolaborasi dengan Josai International University (JIU), Tokyo, Jepun di bawah Program Kepimpinan Wanita selama setahun. Program ini diharapkan akan dapat melahirkan pemimpin wanita yang dinamik.

Tiada Istilah Penat
Dalam kesibukan tugas sedia ada, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil masih mampu meluangkan masa untuk bergiat aktif dalam bidang ketenteraan. Lantaran itu, Baginda telah dianugerahkan Mejar Kehormat Askar Wataniah pada tahun 2012. Saban tahun, Baginda turut mengambil kesempatan untuk mengiringi DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bagi melahirkan rasa penghargaan ke atas pengorbanan anggota keselamatan yang mempertahankan kedaulatan negara ketika bersama-sama berangkat ke Program Jalinan Kasih Kerajaan Negeri Perlis ke Negeri Di Bawah Bayu pada setiap bulan Ramadhan. Program ini bermatlamat untuk menyuntik semangat kepada para perwira di perbatasan dalam kawasan Op Pasir serta mengurniakan sumbangan Aidilfitri. Selang setahun, Baginda turut mengiringi DYTM Tuanku Komander dalam Lawatan Kerja Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) ke luar negara. Dengan penglibatan dan komitmen tidak berbelah bahagi Baginda dalam memastikan kelangsungan institusi-institusi dan badan-badan yang dinaungi, pelbagai aktiviti dan program telah direncana dan diatur gerak demi manfaat rakyat Malaysia amnya dan rakyat Perlis khususnya. Kesejahteraan dan kemaslahatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Baginda.

Dirgahayu Tuanku.


Pihak Pentadbiran Pejabat Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perlis tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan menerusi maklumat yang diperolehi melalui laman web ini.
Paparan terbaik melalui Mozilla Firefox dan Google Chrome dengan resolusi 1024 x 768 ke atas.

STATISTIK LAMAN WEB
Masa capaian : 0.5 saat

Tarikh Kemaskini :    10/10/2024 
Statistik Pelawat : ->

004260
Hari Ini: 111
Semalam: 59
Minggu Ini: 111
Minggu Lepas: 551
Bulan Ini: 1,422
Jumlah: 4,260