16 Trivia

 TRIVIA NEGERI PERLIS DALAM SEJARAH

 

1. Asal nama daripada pokok
 
flower Nama Perlis berasal daripada Pokok Perlis yang kini telah pupus. Daripada nama pokok tersebut wujudlah nama Perlis, Sungai Perlis, Kuala Perlis dan akhirnya Negeri Perlis.
   
2. Manusia Perlis terawal
 
flower Berasaskan bukti penemuan arkeologi di sekitar Perlis iaitu di Bukit Tegun Lembu, Bukit Chuping, Bukit Kerengga, Bukit Changkul dan Bukit Ngulang; didapati bumi Perlis sudah didiami manusia sejak 5000 hingga 10,000 tahun yang lampau.
   
3. Kegemilangan Pelabuhan Kuala Perlis
 
flower Selepas kejatuhan Melaka, Kuala Perlis bangkit sebagai pelabuhan entreport yang penting di utara Tanah Melayu. Kemakmuran Pelabuhan Kuala Perlis tidak disukai oleh Siam yang membayar tentera upahan Portugis diketuai oleh Diogo de Mendonca Furtado untuk menyerangnya pada 1611.
   
4. Padi sumber kekayaan
 
flower

Lembangan Sungai Perlis amat subur untuk penanaman padi sehingga hasil padi Perlis pernah menjadi sumber kekayaan utama Kesultanan Kedah. Untuk mengawal harga beras Perlis supaya kekal tinggi, Sultan Kedah Ke-18 pernah mengeluarkan titah perintah yang berbunyi:

‘Syahdan akan padi beras pun dalam Perlis itu jangan diberi keluar ke negeri asing, hendaklah dengan sesungguhnya...’

   
5. Negeri Melayu termuda
 
flower Kerajaan Melayu Perlis muncul secara rasmi pada tahun 1843, jika dibandingkan dengan Negeri-negeri Melayu lain
   
6. Nasab Rasulullah SAW
 
flower Wangsa Jamalullail turut dinisbahkan kepada Nabi dan Rasul terakhir yang diutuskan Allah. Tuanku Syed Sirajuddin merupakan Ahlul Bait Rasulullah SAW di mana baginda adalah keturunan Nabi Muhammad ke-39.
   
7. Matawang Perlis
 
flower Raja Perlis pertama, Tuanku Syed Hussin Ibni Syed Harun Jamalullail, pernah mengeluarkan matawang sendiri yang dibuat daripada bijih timah. Pada matawang dalam bentuk syiling ini, diukir khat jawi yang berbunyi ‘Belanja Balad Al-Perlis Sanah 1262’ iaitu diterbitkan pada tahun 1845.
   
8. Bunga Emas Perlis
 
flower Perlis menghantar Bunga Emas sebanyak 23 kali. Tiga orang Raja Siam daripada Wangsa Chakri menerima Bunga Emas sebanyak 22 kali. Manakala Bunga Emas terakhir dihantar kepada Raja Inggeris daripada Wangsa Windsor pada tahun 1909.
   
9. Negeri Melayu terakhir dinaungi Inggeris
 
flower Walaupun dinaungi secara tidak rasmi oleh British melalui Perjanjian Bangkok pada tahun 1909, Perlis menjadi Negeri Melayu terakhir yang merasmikan naungan Inggeris ke atasnya. Ini berlaku apabila Perlis menandatangani perjanjian persahabatan dengan Inggeris hanya pada 28 April 1930.
   
10. Negeri Ahlis Sunnah Wal Jamaah
 
flower Perlis adalah negeri terawal di Malaysia yang mengkanunkan manhaj Ahlis Sunnah Wal Jamaah secara rasmi dalam perlembagaan negerinya. Peristiwa bersejarah ini berlaku apabila Perlembagaan Perlis yang dinamakan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 dikurniakan oleh Tuanku Syed Putra Ibni Syed Hassan Jamalullail pada tahun 1948.
   
11. Yang DiPertuan Agong untuk Singapura
 
flower Tuanku Syed Putra dilantik sebagai Yang DiPertuan Agong ke-3 pada 21 September 1960 sehingga 20 September 1965. Pada 16 September 1963, Malaysia telah ditubuhkan dan baginda telah menjadi satu-satunya Yang DiPertuan Agong untuk Singapura.
   
12. Raja yang paling lama memerintah
 
flower Sehingga kini, Tuanku Syed Putra Jamalullail, adalah pemerintah terlama dalam sejarah Negeri Perlis iaitu memerintah bermula pada tahun 1945 sehingga tahun 2000 (55 tahun).
   
13. Raja Perempuan Perlis yang pertama
 
flower Suri kepada Tuanku Syed Putra, iaitu Tuanku Tengku Budriah Binti Tengku Ismail merupakan Raja Perempuan Perlis yang pertama ditabalkan secara rasmi. Tuanku Budriah juga merupakan cucunda Raja Patani yang terakhir, Sultan Abdul Kadir Kamaruddin.
   
14. Putera pertama menjadi Raja Muda Perlis
 
flower Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Tuanku Syed Putra adalah Raja Muda Perlis pertama yang dimahsyurkan dalam kalangan putera kepada Raja Perlis yang memerintah. Sebelum daripada baginda, penyandang jawatan Raja-Raja Muda Perlis adalah adinda lelaki kepada Raja Perlis yang memerintah.
   
15 Raja Melayu pertama dalam ATM
 
flower Tuanku Syed Sirajuddin merupakan Raja Melayu pertama yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Baginda mula ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Kor Peninjau DiRaja (Kor Armor DiRaja) bagi Rejimen Kedua Peninjau berpengkalan di Kem Sungala, Port Dickson pada 12 Disember 1965. Tuanku Syed Sirajuddin juga pernah berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Pahang. Baginda mengakhiri perkhidmatan dalam ATM dengan pangkat Kapten pada 31 Disember 1969. Tuanku Syed Sirajuddin memiliki pengalaman sebenar melalui detik-detik cemas Konfrantasi 1965, Peristiwa 13 Mei 1969 dan Darurat Tanah Melayu iaitu pemberontakan Parti Komunis Malaya.
   
16. Ayahanda saudara Yang DiPertuan Agong ke-15
 
flower Melalui perkahwinan baginda dengan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Binti Tengku Abdul Rashid, Tuanku Syed Sirajuddin menjadi ayahanda saudara sepupu kepada Yang DiPertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.
   


 

Aktiviti Kelab PERALIS

{pgslideshow id=16|width=640|height=480|delay=3000|image=L}
Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan portal ini. Paparan terbaik gunakan Google Chrome atau Mozilla Firefox pada resolusi 1024x768 pixel.
Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…