Selayang Pandang

SELAYANG PANDANG PERJUANGAN RAJA-RAJA JAMALULLAIL PERLIS MEMARTABATKAN ISLAM


Bagai keris dengan sarungnya, identiti Negeri Perlis sebagai sebuah Kerajaan Melayu-Islam dari tahun 1843 sehingga ke hari ini tidak dapat dipisahkan daripada sumbangan Raja-raja Jamalullail. Sejarah menjadi saksi bahawa dalam pentadbiran hal-ehwal Agama Islam, Raja-raja Jamalullail tidak sekali-kali pernah menyerahkan kedaulatan dan kuasa-kuasa mutlak baginda biar sekecil mana pun kepada kuasa-kuasa Siam, Kedah, British, Jepun, MPAJA, BMA atau Malayan Union. Apabila Perlis menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 yang berubah menjadi Malaysia pada 1963, kuasa-kuasa Raja Perlis sebagai Ketua Agama Islam telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Raja Syed Hussein Bin Syed Harun Jamalullail (1843-1873) telah meletakkan Islam sebagai identiti dan pegangan Kerajaan Perlis. Sejak kecil, baginda telah diasuh dan dididik oleh ayahanda baginda iaitu Penghulu Syed Harun Bin Syed Ahmad Jamalullail, seorang pembesar yang memiliki pengetahuan Agama Islam yang mendalam. Bagi menjalankan pentadbiran Negeri Perlis, Raja Syed Hussein Jamalullail telah mewujudkan jawatan Kadi Besar Kerajaan Perlis. Penyandang jawatan Kadi Besar bertanggungjawab sebagai mufti yang memberi nasihat berkaitan Hukum Syara’ kepada Raja Perlis. Beliau juga berperanan sebagai Hakim Syarie yang mengadili kes-kes syariah yang dibawa ke Balai Penghadapan Istana Perlis. Sebagaimana Khalifah ‘Umar Bin Al-Khattab yang memperkenalkan matawang Dinar dan Dirham, Raja Perlis ini mengeluarkan matawang sendiri yang dibuat daripada bijih timah. Pada matawang dalam bentuk syiling ini, diukir khat jawi yang berbunyi ‘Belanja Balad Al-Perlis Sanah 1262’ iaitu diterbitkan pada tahun 1845.

Syiar Islam terus dimartabatkan dalam zaman pemerintahan Raja Syed Ahmad Bin Syed Hussein Jamalullail (1873-1897). Baginda telah memastikan kesinambungan Pakar Rujuk Syarie bagi Negeri Perlis melalui penyandang jawatan Kadi Besar. Raja Syed Ahmad Jamalullail juga memperkenankan pembukaan pusat pengajian Islam berkonsep pondok yang pertama di Negeri Perlis. Pemerintahan Raja Syed Ahmad Jamalullail juga memberikan perhatian khas kepada institusi masjid sebagai pusat ibadat dan wahana penyebaran ilmu dalam kalangan rakyat jelata. Baginda telah memperbaharui binaan Masjid Arau dan menaik taraf masjid ini menjadi sebuah Masjid DiRaja.

Pembangunan Islam di Perlis terus disemarakkan pada zaman Raja Syed Saffi bin Syed Alwi Jamalullail (1897-1904) yang mengutamakan pelaksanaan Fardu Kifayah. Walaupun tempoh pentadbiran baginda agak singkat, tetapi baginda telah membawa perubahan-perubahan yang besar kepada kemakmuran Negeri Perlis. Baginda telah menggembleng tenaga rakyat Perlis untuk bersama-sama berganding bahu membina jalan raya dan terusan di negeri ini. Antara jalan yang berjaya dibina oleh baginda dengan pendekatan ini ialah Jalan Perlis-Kedah melalui Kodiang, Jalan Arau-Kangar, Jalan Kangar-Tebing Tinggi dan Jalan Kangar-Sanglang melalui Simpang Empat. Kini kesemua jalan tersebut menjadi jalan raya utama bagi Negeri Perlis.

Raja Syed Saffi Jamalullail turut berjasa membina tali air iaitu Terusan Arau atau disebut juga Sungai Raja yang bermula dari Guar Sanji di Arau melalui Tambun Tulang, Simpang Empat sehingga ke Sungai Baru yang mengalir ke Selat Melaka. Wawasan dan pandangan jauh Raja Syed Safi Jamalullail membina jalan-raya dan terusan ini bertujuan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan mengeluarkan rakyat daripada kemelut kemiskinan. Melalui pembukaan kampung-kampung dan kawasan pertanian baharu di kiri kanan jalan dan terusan yang baginda usahakan, maka tercapailah hasrat baginda untuk memajukan Negeri Perlis yang tercinta.

Baginda turut menaik taraf cara berniaga dan meningkatkan ekonomi orang Melayu Perlis. Hal ini dilakukan dengan pembinaan sebuah pasar tetap yang dinamakan ‘Pekan Baru’ di Kangar dan lebih terkenal dengan sebutan Market Kangar. Sebelum pembinaan pasar ini, orang Melayu Perlis hanya berniaga di pekan-pekan sehari yang dipanggil Nat sahaja. Dalam sektor pendidikan, Raja Syed Saffi Jamalullail telah mendirikan sekolah pertama di Negeri Perlis yang kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah di Arau.

Kegemilangan Islam terus terserlah di bawah pemerintahan Raja Syed Alwi Bin Raja Syed Saffi Jamalullail (1905-1943). Sebagai sebuah Dewan DiRaja yang mengawal-selia dan mentadbir urusan hal ehwal Islam, baginda telah menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis atau singkatannya MAIPs pada tahun 1920. Raja Syed Alwi Jamalullail turut menaik taraf Institusi Kehakiman Islam dengan mempelopori pengasasan Mahkamah Kadi Perlis pada tahun 1921, yang menjadi asas kewujudan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs).

Dibantu oleh pembesar-pembesar yang setia, baginda telah menyusun semula sistem kutipan dan agihan zakat serta fitrah di Negeri Perlis. Penambahbaikan yang sistematik ini membolehkan martabat Umat Islam terus diangkat melalui pembinaan sekolah-sekolah agama, pembangunan masjid, pengurniaan elaun kepada pegawai masjid dan penganugerahan biasiswa. Keberkesanan sistem kutipan dan agihan zakat yang dicetus pada zaman pemerintahan baginda telah menarik perhatian pihak berkuasa agama di Negeri Perak, Negeri Kedah dan Negeri Selangor untuk mempelajarinya. Tahun 1930 menyaksikan baginda telah mengasaskan kewujudan sebuah madrasah moden iaitu Al-Madrasah Al-Alawiyah Al-Diniyyah di Arau bersumberkan dana zakat. Seterusnya, mercu tanda senibina Melayu-Islam Negeri Perlis iaitu Masjid Alwi di Kangar, juga telah dibina pada zaman pemerintahan Raja Syed Alwi Jamalullail dan dirasmikan pada 9 Februari 1933.

Islam terus didaulatkan di bumi Perlis pada era pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Putra Jamalullail (1945-2000). Baginda berjasa besar dalam mengkanunkan Agama Islam dan manhaj Ahlis Sunnah Wal Jamaah sebagai agama bagi Negeri Perlis. Pencapaian ini diraih apabila baginda mengurniakan perlembagaan Negeri Perlis yang pertama dalam format bertulis disebut sebagai Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 pada 1 Februari 1948. Perlis menjadi antara negeri terawal di Malaysia yang mengkanunkan manhaj Ahlis Sunnah Wal Jamaah secara formal dalam undang-undang tertinggi negerinya. Hakikat ini telah ditegaskan dalam Perkara 5 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 yang dikurniakan oleh baginda.

Justeru pada zaman pemerintahan baginda, segala perkara berkaitan Agama Islam dan adat istiadat Melayu di Negeri Perlis teah diselaraskan menurut tuntutan manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah dalam Perkara 5 ini. Selain itu, pelbagai agensi Islam dan pusat pendidikan berteraskan Islam telah diwujudkan sewaktu pemerintahan baginda. Antaranya adalah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) yang dipisahkan daripada MAIPs pada tahun 1989, serta Jabatan Mufti Negeri Perlis pada tahun 1996. Dalam sektor Pendidikan Islam, Tuanku Syed Putra Jamalullail telah memperkenankan penubuhan Yayasan Islam Perlis (YIPs) pada tahun 1987 dan Institusi Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIPs) pada 1998. Pemerintahan selama 55 tahun telah mengukir nama baginda sebagai salah seorang raja berdaulat yang paling lama bertakhta di seluruh dunia pada zamannya.

Pentadbiran hal-ehwal Islam terus terbilang di bawah pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail (2000-kini). Baginda sentiasa mengambil berat urusan hal-ehwal Islam dalam Negeri Perlis supaya selaras dengan manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah. Di samping itu, baginda berdamping rapat dengan beberapa tokoh agama. Masjid-masjid baharu terus dibina di seluruh Negeri Perlis, manakala struktur masjid yang uzur giat diperbaiki pada zaman pemerintahan baginda.

Sebagaimana baginda pernah diamanahkan oleh ayahandanya sebagai Yang Dipertua MAIPs, baginda telah meneruskan tradisi mulia ini. Oleh yang demikian, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah melantik anakandanya Raja Muda Perlis sebagai Yang Dipertua MAIPs pada 14 Disember 2001 sehingga kini. Pada 3 Mac 2013, baginda telah memperkenankan pelawaan daripada YAB Perdana Menteri untuk MAIPs menubuhkan sebuah kolej Islam yang dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs).

Merenung masa hadapan Islam di Negeri Perlis yang berdaulat, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagaikan permata yang bersinar. Di samping menjadi Raja Muda, baginda memikul amanah daripada ayahandanya sebagai Tuanku Yang Dipertua MAIPs, Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Tuanku Canselor KUIPs, Komander Rejimen 504 Askar Wataniah dan Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP). Tanpa mengenal penat lelah, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berdamping rapat dengan segenap lapisan rakyat khususnya dengan pendekatan unik ‘berbasikal turun padang’ yang baginda amalkan.

Menongkah arus kepesatan teknologi pascamoden sekaligus mengabadikan warisan pusaka, perjuangan Raja-raja Jamalullail akan diteruskan bagi mengangkasa martabat Islam di Negeri Perlis. Segala onak dan duri perjuangan akan ditempuhi dengan keimanan kepada Allah, serta iltizam dengan al-Qur’an dan al-Sunnah di atas manhaj Ahlis Sunnah Wal Jama’ah. Justeru keterbilangan Islam di Negeri Perlis akan terus lestari di bawah pemerintahan wangsa ini.

Oleh:

Dr. Hazman Hassan

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)

 

 

Aktiviti Kelab PERALIS

{pgslideshow id=16|width=640|height=480|delay=3000|image=L}
Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan portal ini. Paparan terbaik gunakan Google Chrome atau Mozilla Firefox pada resolusi 1024x768 pixel.
Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…