DYTM Tuanku Raja Muda Perlis



DULI YANG TERAMAT MULIA
TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA
IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL

D.K., S.P.M.P., P.A.T.DOCTOR OF EDUCATION (HONORIS CAUSA) LA TROBE UNIVERSITY, MELBOURNE, AUSTRALIA
DAN HONORARY DOCTORATE IN MANAGEMENT SCIENCE, YALA RAJABHAT UNIVERSITY, THAILAND



RAJA MUDA PERLIS

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail diputerakan di Hospital Besar Alor Setar, Kedah Darul Aman pada 30 Disember 1967. Baginda merupakan anakanda sulung kepada DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Raja Perlis dan DYMM Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Latar Belakang Pendidikan
Tuanku Syed Faizuddin Putra mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Putra, Kangar pada tahun 1974 sehingga 1979 sebelum bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Kangar (1980 – 1982) dan Sekolah Menengah Penang Free, Pulau Pinang. Pada tahun 1984, baginda berpindah ke Carey Grammar School, Melbourne, Australia sebelum menyambung pengajian di La Trobe University, Melbourne, Australia dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (B. Ec.) pada tahun 1986 hingga tahun 1989. Pada tahun 2016, Baginda telah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Sains Pengurusan daripada Yala Rajabath University, Thailand. Sebelum itu, Baginda juga pernah dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat Pendidikan (Honoris Causa) daripada La Trobe University pada tahun 2010.

Jauh Perjalanan Luas Pemandangan
Tuanku Syed Faizuddin Putra mula berkhidmat dengan Malaysian Airline System (MAS) pada tahun 1990 sebaik sahaja menamatkan pengajian di Melbourne, Australia. Sepanjang tempoh 12 tahun, baginda telah diberi peluang dan pendedahan sebagai Pengurus Kawasan untuk mengemudi pentadbiran MAS di Madrid untuk Sepanyol dan Portugal serta di Zurich untuk Switzerland, Austria dan Eropah Tengah. Dengan hati yang berat, baginda meletakkan jawatan pada tahun 2002 selepas dilantik sebagai Raja Muda Perlis pada tahun 2000 dan kemudiannya sebagai Pemangku Raja Perlis pada penghujung tahun 2001 apabila DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Tuanku Syed Putra Jamalullail menaiki takhta Kerajaan Malaysia sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke 12. Pengalaman kerja di negara luar dari tahun 1995 hingga 2002 banyak membantu Baginda melontarkan idea bernas serta merencana strategi pembangunan yang lebih tersusun demi kemaslahatan rakyat dan Negeri Perlis khasnya.

Perkahwinan DiRaja
Tanggal 9 Mei 1994 menjadi tarikh keramat apabila Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diijabkabulkan selepas sudah berkenalan lebih kurang 6 tahun. Hasil ikatan cinta yang tersimpul rapi, Baginda berdua telah dikurniakan dua orang puteri serta seorang putera iaitu YAM Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail (10 Februari 1995), YAM Sharifah Farah Adriana Jamalullail (4 Mac 2001) dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail (12 April 2009). Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang diputerikan pada 28 Mac 1970 merupakan anakanda kedua kepada Dato’ Khalil bin Akasah dan Datin Nik Rahimah binti Wan Ahmad. YAM Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail telah menamatkan pengajian di University of Melbourne dalam jurusan Bachelor of Arts (Major in Politics and International Relations and Anthropology). Manakala YAM Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail masih lagi bersekolah.


Tunjang Mengukuh Di Bumi, Pucuk Menjulang Tinggi
Perkembangan dan kemajuan sesuatu bangsa di dunia ini berkait rapat dengan kemajuan dan perkembangan ilmu pengetahuan yang terdapat pada bangsa itu sendiri. Lantaran itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra amat menitik beratkan penguasaan ilmu khususnya di kalangan rakyat Perlis. Sejak dilantik menjadi Canselor Universiti Malaysia Perlis (pada masa itu dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia - KUKUM) yang pertama pada tahun 2003, Baginda enggan menoleh ke belakang lagi. Pelbagai strategi diatur gerak bagi memastikan keterlihatan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) selain meningkatkan kebolehpasaran graduannya. Di bawah naungan Baginda, UniMAP kini berada di kedudukan 230 universiti terbaik di dunia dan mempunyai 12,882 orang penuntut dari dalam dan luar negara yang rata-ratanya membuat pengkhususan dalam bidang kejuruteraan. Hasil inisiatif dan idea Baginda, UniMAP turut menjalinkan kerjasama strategik dengan universiti-universiti dari 44 buah negara di seluruh dunia. Sebagai Canselor UniMAP, Baginda telah beberapa kali dipersilakan untuk menyempurnakan titah ucaptama termasuk di Universiti Ubudiyah, Banda Aceh, Indonesia, Daffodil International University, Dhaka, Bangladesh, Josai International University, Tokyo, Jepun dan semasa di Fujairah International Education and Career Fair 2016, Fujairah, Emeriyah Arab Bersatu. Pada 15 April 2015, Baginda telah juga dilantik sebagai Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs). Fokus kolej universiti yang ditubuhkan pada 2013 ini adalah dalam bidang Pengurusan dan Kewangan Islam. Walau pun baru setahun jagung, KUIPs kini telah melebarkan sayapnya ke negara jiran dan berkolaborasi dengan beberapa universiti di selatan Thailand. Sudah semestinya usaha ini tercetus hasil idea Baginda sendiri. Selain itu, Baginda turut menyokong penuh program-program dan aktiviti-aktiviti anjuran Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, Kolej Antarabangsa Profesional dan Teknologi Malaysia Perlis, institusi-institusi pengajian tinggi yang lain, sekolah-sekolah serta Smart Reader. Setiap tahun, Baginda tidak ketinggalan untuk mengetuai Lawatan Akademik Program Jelajah Ilmu bersama-sama Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP ke luar negara. Baginda juga merupakan satu-satunya Canselor yang bercemar duli berangkat ke hari pertama pendaftaran pelajar dan konvokesyen.

Menjunjung Syiar, Memaju Ummah
Sejak menerajui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selaku Yang DiPertua pada tahun 2002, Tuanku Syed Faizuddin Putra telah mengilhamkan pelbagai usaha transformasi bagi memastikan kelangsungan MAIPs. Inisiatif transformasi ini turut mendapat bantuan serta sokongan penuh pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU). Dengan dibantu oleh barisan ahli jawatankuasa yang hebat-hebat, strategi yang direncana menampakkan hasil positif apabila jumlah pungutan dan juga agihan zakat meningkat berlipat kali ganda. Bukan itu sahaja, Baginda turut memperkenalkan kaedah pengagihan zakat yang lebih mesra rakyat menerusi Program MAIPs Peduli di mana Baginda meluangkan masa untuk berbasikal menelusuri kampung-kampung di seluruh negeri Perlis dalam usaha menjejaki dan menyantuni asnaf-asnaf. Keterlihatan MAIPs di peringkat antarabangsa terutamanya di negara-negara Timur Tengah kian menyerlah di bawah pimpinan Baginda. Selain bantuan biasiswa kepada pelajar-pelajar Perlis yang melanjutkan pengajian di luar negara, program pembangunan infrastruktur turut dirangka demi manfaat jangka panjang. Terkini, MAIPs meluaskan rangkaian kerjasama dengan enam Majlis Agama Islam Wilayah Andaman, Thailand dalam usaha menjunjung syiar dan memaju ummah. Bersama-sama MAIPs, Baginda juga pernah melawat kem pelarian Syria di Jordan bagi melihat sendiri keperitan yang dialami selain mengurniakan sumbangan MAIPs bagi meringankan beban yang ditanggung mereka.

Kesempurnaan Sasaran Kami - Dilatih Untuk Perang
Pelantikan Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai Komander Rejimen 504 Askar Wataniah pada tahun 2002 membawa seribu satu harapan baru kepada badan sukarela banteng pertahanan nombor dua negara tersebut. Pelbagai inisiatif telah dilaksana bagi menimbulkan minat orang ramai khususnya untuk menyertai pasukan ini. Baginda juga meletakkan sasaran yang tinggi ke atas setiap anggota wataniah untuk sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi sebarang bentuk kemungkinan. Saban tahun, Baginda mengambil kesempatan untuk melahirkan rasa penghargaan ke atas pengorbanan anggota keselamatan yang mempertahankan kedaulatan negara dengan mengetuai Program Jalinan Kasih Kerajaan Negeri Perlis ke Negeri Di Bawah Bayu pada setiap bulan Ramadhan bagi menyuntik semangat kepada para perwira di perbatasan dalam kawasan Op Pasir serta mengurniakan sumbangan Aidilfitri. Selang setahun, Baginda turut mengetuai Lawatan Kerja Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) ke luar negara. Atas penglibatan aktif dalam bidang ketenteraan, Baginda telah dianugerahkan beberapa sayap kehormat termasuk daripada Tentera Darat Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Royal Thai Police dan Royal Thai Army. Sirkit Merentas Halangan Syed Sirajuddin Areeb Putra di Kem Rejimen 504 Askar Wataniah juga merupakan cetusan idea Baginda.

Sukan Di Hati Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin Putra merupakan seorang Raja Muda yang sangat aktif bersukan. Ketika di zaman persekolahan, Baginda pernah mewakili Perlis dalam sukan bolasepak di peringkat bawah umur 12 tahun. Baginda juga mewakili pasukan sekolah dalam sukan hoki, sepak takraw dan badminton. Usaha Baginda untuk memartabatkan sukan memang tiada penghujungnya. Selain memegang jawatan sebagai Presiden Kelab Golf Putra Perlis, cetusan ilham Baginda sebagai pengasas dan juga Penaung DiRaja Persatuan Wooball Perlis telah mencatatkan nama bumi bertuah ini dalam “Malaysia Book of Records” apabila berjaya menganjurkan pertandingan woodball paling lama tanpa henti selama 28 jam pada 31 Ogos 2016. Perlis juga pernah diberikan tanggungjawab sebagai tuan rumah Kejohanan Woodball Asia, World University Woodball Championship. Terakhir sekali, Perlis telah dipilih sebagai tuan rumah Woodball World Cup pada tahun 2020. Mutakhir ini, Baginda gemar meluangkan masa untuk berbasikal, bermain bolasepak dan woodball. Sokongan padu Baginda semasa menjadi Pemangku Raja Perlis untuk bercemar duli berangkat ke semua perlawanan menyaksikan Perlis berjaya mendakap Piala Malaysia sebanyak 2 kali. Baginda yang merupakan penyokong tegar kelab bolasepak Manchester United pernah meluang masa beberapa kali berangkat ke stadium-stadium bolasepak ternama seperti Old Trafford selain Maracana, Nou Camp, Santiago Bernebau dan lain-lain lagi.

Raja dan Rakyat Berpisah Tiada
Platform sebagai Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis (YTSP) digunakan sebaik mungkin oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra untuk memastikan program-program pendidikan dan pembangunan pelajar baik dari segi sahsiah dan akademik mahu pun kepimpinan diberikan fokus yang mendalam. Hasrat Baginda tentu sekali untuk melahirkan rakyat Perlis yang bermentaliti kelas pertama. Bukan setakat itu, YTSP turut berperanan untuk menjaga kebajikan golongan yang memerlukan sama ada dari segi sumbangan dan biasiswa pendidikan serta bantuan perubatan dan peralatan. Antara inisiatif terbaru yang diperkenalkan oleh Baginda adalah pengwujudan Tabung Simpanan Bayi Lahir Putra Petri, sumbangan khas untuk bayi yang dilahirkan di Perlis semasa tempoh Sambutan Ulang Tahun Keputeraan DYMM Tuanku Raja Perlis. Manakala sebagai Penasihat Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) pula, lontaran idea Baginda untuk memartabatkan kaum wanita serta memastikan kaum ini kekal cemerlang telah menyaksikan Program Kepimpinan Wanita terhasil di mana calon-calon yang dikenal pasti akan diberikan biasiswa untuk menjalani program kepimpinan di Josai International University, Jepun selama setahun. Di masa terluang, Baginda gemar untuk melawat negara-negara asing. Di kesempatan itu, Baginda akan memperkenalkan Perlis di negara luar menerusi Perlis Food Promotion. Rakyat Perlis amat bertuah kerana mempunyai seorang Raja Muda yang senantiasa ramah dan mudah didekati serta yang paling penting mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.

Dirgahayu Tuanku.   

 

 

 

 

Aktiviti Kelab PERALIS

{pgslideshow id=16|width=640|height=480|delay=3000|image=L}
Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan portal ini. Paparan terbaik gunakan Google Chrome atau Mozilla Firefox pada resolusi 1024x768 pixel.
Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…