DYMM Tuanku Raja Perlis



DULI YANG MAHA MULIA
TUANKU SYED SIRAJUDDIN IBNI ALMARHUM TUANKU SYED PUTRA JAMALULLAIL

D.K.P., D.K., S.S.P.J., D.K.M., D.M.N., D.K.(PERAK), D.K.(KEDAH), D.K.(KELANTAN), D.K.M.B.(BRUNEI), D.K.(SELANGOR), D.K.(PAHANG), D.K. II(TERENGGANU), S.P.M.J., S.P.C.M., S.S.M.T., GRAND ORDER OF KING TOMISLAV (CROATIA), GRAND COLLIER DE L’INDEPENDENCE (GRAND MEDAL OF THE INDEPENDENCE) – CAMBODIA,

GRAND CROIX DE L’ORDRE (ROYAL SASH) – CAMBODIA, CAVALIERE DI GRAN CROCE DECORATO DI GRAN CORDONE (ITALY), QILADAH BADR AL-KUBRA (ARAB SAUDI), DECORATION OF OMAYAD – THE FINEST DECORATION (SYRIA), KNIGHT OF THE ROYAL ORDER OF THE SERAPHIM (SWEDEN), GRAND CORDON OF THE ORDER OF THE SACRED TREASURE (JAPAN)



RAJA PERLIS

Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang diputerakan di Arau, Perlis pada 17 Mei 1943 merupakan anakanda kedua kepada Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail dan Almarhumah Tuanku Tengku Budriah binti Almarhum Tengku Ismail. Baginda mempunyai salasilah keluarga yang berhubung dengan Nabi Muhammad SAW dari sebelah ayahanda baginda serta mempunyai darah keturunan Sultan Pattani dari sebelah bonda baginda.

Pendidikan
Tuanku Syed Sirajuddin mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Arau sebelum bersekolah di Pulau Pinang mulai tahun 1950. Pada tahun 1960 ketika masih menuntut di Penang Free School, baginda telah dilantik sebagai Raja Muda Perlis dan seterusnya menyambung pengajian di Wellingborough School, England selama empat tahun sehingga tahun 1963.

Pengalaman Ketenteraan
Tuanku Syed Sirajuddin seterusnya mengikuti latihan ketenteraan di kolej tentera yang berprestij iaitu Royal Military Academy Sandhurst (RMAS) pada Januari 1964 (Burma Company, Victory College) dan ditauliahkan pada 18 Disember 1965. Setelah tamat latihan, baginda telah kembali ke tanah air dan berkhidmat di dalam Rejimen Kedua Kor Peninjau Diraja pada Disember 1965. Pada tahun 1966, baginda ditukarkan ke Sabah dan kemudian ke Sarawak. Tahun-tahun ini merupakan suatu tempoh yang mencabar buat Tuanku Syed Sirajuddin di mana negara jiran pada masa itu telah mengisytiharkan konfrontasi terhadap penyatuan Persekutuan Tanah Melayu dengan negeri Sabah dan Sarawak. Sungguhpun begitu, Tuanku Syed Sirajuddin terus berkhidmat dengan penuh keperwiraan berbekalkan ilmu yang diperoleh di Sandhurst dan darah diraja di dalam diri baginda.

Perkahwinan
Tuanku Syed Sirajuddin berkahwin dengan Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid pada 15 Februari 1967 setelah empat tahun mengikat tali pertunangan. Tuanku Tengku Fauziah yang diputerakan pada 6 Jun 1946 merupakan anakanda kepada Almarhum Tengku Abdul Rashid ibni Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dan Almarhumah Tengku Putri binti Almarhum Sultan Ibrahim Petra. Baginda seterusnya berkhidmat selama beberapa tahun di negeri Pahang sebelum kembali ke negeri Perlis untuk memberi tumpuan kepada tanggungjawab baginda sebagai Raja Muda Perlis.

Menaiki Takhta
Pada 17 April 2000, Tuanku Syed Sirajuddin dimahsyurkan menjadi Raja Perlis Ke-7 selepas kemangkatan ayahanda baginda. Baginda merupakan Raja Perlis yang pertama dilantik selepas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis digubal pada tahun 1948. Bermula dari saat itulah, Tuanku Syed Sirajuddin menjadi payung negeri yang menaungi seluruh hal ehwal dan keberadaan rakyatnya. Bersama-sama Tuanku Tengku Fauziah sebagai Raja Perempuan Perlis, baginda berdua sentiasa kasih dan mengambil berat terhadap rakyat, pentadbiran agama Islam serta pembangunan negeri. Selain itu, baginda turut dilantik sebagai Kolonel Yang Dipertua Rejimen Renjer Diraja (RRD) dan Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), serta Canselor Universiti Sains Malaysia (USM).

Menjadi Ketua Negara
Tuanku Syed Sirajuddin seterusnya menyahut keputusan Majlis Raja-Raja yang memilih baginda sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XII mulai 13 Disember 2001. Sungguhpun kira-kira baru ditabalkan sebagai Raja Perlis, pengalaman baginda selama 40 tahun sebagai Raja Muda Perlis sudah lebih daripada mencukupi untuk mengetahui selok-belok pemerintahan. Dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda memberikan sepenuh hatinya untuk melihat urusan negara dan rakyat. Keprihatinan baginda amat terserlah apabila sentiasa berangkat memenuhi persilaan-persilaan rasmi sebagai Ketua Negara serta sering bercemar duli untuk bersama-sama dengan program dan acara bercirikan kebajikan, pendidikan dan sukan. Baginda juga turut berkenan menubuhkan Yayasan Tuanku Syed Sirajuddin dan Yayasan Tuanku Fauziah yang berusaha meningkatkan sosio-ekonomi rakyat serta menghargai individu yang cemerlang dan berketrampilan.  Selain itu, Tuanku Syed Sirajuddin juga menjalinkan hubungan diplomatik melalui keberangkatan baginda ke lebih 20 buah negara asing semasa menjadi Yang di-Pertuan Agong. Malah, baginda pernah diberi penghormatan untuk mewakili Queen Elizabeth II bagi menyempurnakan Istiadat Tamat Latihan Kadet di Sandhurst pada tahun 2005.

Raja dan Rakyat Berpisah Tiada
Pada 12 Disember 2006, lengkaplah tempoh lima tahun Tuanku Syed Sirajuddin sebagai Yang di-Pertuan Agong dan baginda berdua berangkat balik ke Perlis seterusnya menduduki semula takhta sebagai Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis sehingga sekarang. Bersama pasangan hidup Tuanku Tengku Fauziah, baginda dikurniakan dengan seorang putera iaitu DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan seorang puteri iaitu YAM Dato’ Seri Datin Paduka Sharifah Fazira serta empat orang cucunda. Cucunda-cucunda baginda ialah YAM Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, YAM Sharifah Farah Adriana Jamalullail, YAM Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail, dan YM Puteri Nurlin Syazwani. Kini, baginda berdua bersemayam di Istana Arau dan terus mengambil berat terhadap rakyat dan pembangunan negeri. Semoga Allah SWT melanjutkan usia Duli Tuanku.

Dirgahayu Tuanku.

 

 

 

 

 

Aktiviti Kelab PERALIS

{pgslideshow id=16|width=640|height=480|delay=3000|image=L}
Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan portal ini. Paparan terbaik gunakan Google Chrome atau Mozilla Firefox pada resolusi 1024x768 pixel.
Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…