YTSP sumbang RM4,000 kepada Uzzair Zayyan

Pemain bola sepak dari Beseri, Perlis Uzzair Zayyan Naimulddin (dua, kanan) menerima sumbangan berjumlah RM4,000 dari YTSP yang disampaikan anakanda Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail (kiri) di Padang New Trafford, Istana Arau, semalam. - Foto BERNAMA

ARAU: Pemain bola sepak remaja, Uzzair Zayyan Naimulddin yang akan ke Phuket, Thailand bagi mengikuti latihan di Akademi Bola Sepak Cruzeiro dari Brazil di British International School Phuket (BISP), menerima sumbangan RM4,000 daripada Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP).

Sumbangan disampaikan oleh anakanda Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail kepada Uzzair Zayyan, 12, di Padang New Trafford, Istana Arau, di sini, semalam.

Syed Sirajuddin Areeb juga berkenan mengurniakan sehelai jersi Istana FC Juniors sebagai tanda penghargaan dan sokongan selain memberikan motivasi kepada pelajar yang berasal dari Beseri itu untuk mengharumkan nama negeri Perlis.

Sebelum ini, Uzzair Zayyan menerima biasiswa sukan bola sepak berjumlah RM120,000 setahun dan akan diserap di bawah program High Performance Team (HPT) yang dikendalikan oleh Cruzeiro Football Academy Brazil.

Syed Sirajuddin Areeb turut berkongsi minat yang sama dalam sukan bola sepak, begitu berbangga dengan pencapaian Uzzair Zayyan yang membawa nama negeri Perlis ke peringkat antarabangsa dan sentiasa memberikan sokongan kepada beliau.

 

Uzzair Zayyan akan mula mendaftar masuk ke BISP pada 23 Ogos ini, namun bertolak esok bagi menjalani sesi kuarantin terlebih dahulu sebelum dibenarkan untuk mendaftar masuk di sana.

 

Ayah Uzzair Zayyan, Naimulddin Haron ketika ditemui pemberita berkata beliau berbangga kerana anak jati Perlis sendiri boleh melangkah ke sana dan dilatih oleh kelab terkenal selain menimba ilmu dan pengalaman ketika berada di negara luar.

Uzzair Zayyan pernah menyertai pasukan bola sepak Sekolah Kebangsaan Seri Tunjong, ketika berusia lapan tahun. Dia juga pernah ditawarkan menyertai kem bola sepak di peringkat antarabangsa bersama kelab Eropah dari Belanda, Ajax Amsterdam di bawah tajaan TH Global awal tahun lepas namun ditangguhkan akibat penularan COVID-19.

- BERNAMA

Aktiviti Kelab PERALIS

{pgslideshow id=16|width=640|height=480|delay=3000|image=L}
Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan portal ini. Paparan terbaik gunakan Google Chrome atau Mozilla Firefox pada resolusi 1024x768 pixel.
Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…