Program imarah 6 masjid diperketat



MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS (MAIPs) BERKAITAN PELAKSANAAN AKTIVITI PENGIMARAHAN SECARA TERHAD MASJID-MASJID KAWASAN KUALA PERLIS EKORAN PERKEMBANGAN SEMASA

 

PENULARAN WABAK COVID-19 DI NEGERI PERLIS

Dengan kurnia limpah perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, setelah meneliti perkembangan semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh negara dan negeri Perlis tercinta, sayugia dihebahkan Pelaksanaan Aktiviti Pengimarahan Secara Terhad Masjid-Masjid Kawasan Kuala Perlis Ekoran Perkembangan Semasa Penularan Wabak Covid-19 di Negeri Perlis berkuat kuasa Waktu Zohor 1 Ogos 2021 sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan seperti ketetapan berikut:


A- MASJID TERLIBAT

1- Rentetan peningkatan bilangan jangkitan yang tinggi di Mukim Kuala Perlis dan kawasan sekitarnya, serta bilangan kes tempat aktif di negeri Perlis berjumlah 59 orang yang dikemaskini oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Perlis pada 12.00 tengah hari pada 31 Julai 2021, semua masjid-masjid dalam Kawasan Kuala Perlis dan persekitarannya adalah terlibat dengan Arahan Pelaksanaan Aktiviti Pengimarahan Secara Terhad dan segala SOP diperketat kepada masjid-masjid di Kawasan Kuala Perlis terdahulu [MAIPs.100 – 6 Jld 7 (112)] pada 30 Julai 2021 lalu adalah terbatal. Masjid-masjid terlibat adalah seperti berikut:

 

i. Masjid Rahmaniah, Kuala Perlis;

ii. Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Seberang Ramai;

iii. Masjid Terapung Al-Hussain;

iv. Masjid Al-Firdaus, Padang Besar Selatan;

 

v. Masjid Al-Munir, Jalan Batu Lima;

vi. Masjid Al-Mukminin, Kota Kayang.

2- Mereka yang berada dalam kawasan terlibat adalah dilarang daripada keluar kariah untuk menunaikan solat atau hadir mengimarahkan masjid di kariah lain. Anggota masyarakat yang mendapati terdapatnya aktiviti berkenaan, hendaklah segera melaporkannya kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

B- KEHADIRAN PEGAWAI BERTUGAS & JEMAAH

3- Sebagai langkah kawalan, hanya Pegawai Bertugas (Imam, Bilal & Siak) serta jemaah yang terdiri dari kalangan Jawatankuasa Kariah Masjid SAHAJA dengan tidak melebihi 12 orang pada sesuatu masa dibenarkan hadir untuk melaksanakan aktiviti Solat Jemaah (Sama ada Solat Fardu 5 Waktu atau Solat Jumaat).

4- Pegawai bertugas dan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid yang dibenarkan hadir hendaklah di bawah usia 59 tahun. Walaubagaimanapun, bagi yang berusia 60 tahun dan ke atas, turut dibenarkan hadir dengan syarat lengkap 2 Dos suntikan vaksin Covid-19.

 

5- Walaupun melengkapi syarat di atas, Pegawai Bertugas dan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid turut DILARANG untuk hadir ke masjid sekiranya terdiri daripada golongan seperti berikut:

a) Mereka yang terlibat dengan aktiviti rentas sempadan / negeri sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran termasuk yang berulang alik bekerja pada setiap hari walaupun telah lengkap 2 dos suntikan vaksin.  Larangan ini adalah selama tempoh 2 minggu daripada tarikh merentas sempadan.

b) Ahli keluarga mereka yang tinggal bersama dengan golongan yang melakukan rentas sempadan, melainkan ahli keluarga yang telah lengkap 2 dos suntikan vaksin.

 

c) Golongan yang berstatus PUI (Person Under Investigation), PUS (Person Under Surveillance) dan mereka yang memiliki risiko untuk dijangkiti.

6- Semua yang hadir hendaklah mematuhi segala SOP Keselamatan dan Kesihatan seperti berikut:

a) Memakai pelitup separuh muka. (Digalakkan memakai 2 pelitup muka [double face masks] serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka [face shield]);

b) Membawa sejadah sendiri bersaiz standard;

c) Mengambil wuduk sebelum ke masjid;

d) Mengimbas suhu badan dan melaksanakan rekod penjejakan sosial (mengimbas Kod QR Aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan). Pematuhan terhadap SOP ini adalah diperketatkan.

C- TATACARA KETIKA DI MASJID

7- Demi mengurangkan risiko penyebaran wabak, semua solat hanya akan dilaksanakan di ruang terbuka seperti anjung masjid.

8- Laungan azan akan dilaksanakan di masjid dengan gantian seruan ungkapan   hay’alatain  (حى على الصلاة، حى على الفلاح)  kepada (صَلُّوْا فِيْ بُيُوْتِكُمْ) (Solatlah di rumah kamu), berdasarkan riwayat al-Bukhari (668) dan Muslim (699) daripada Ibn ‘Abbas RA. Inilah salah satu pandangan yang dibolehkan seperti yang dinyatakan oleh al-Imam al-Nawawi RH di dalam kitabnya Syarh Sahih Muslim 5/207.

 

9- Semua jemaah hendaklah sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 2 meter pada setiap masa. Pematuhan terhadap SOP ini adalah diperketatkan.

10- Tidak dibenarkan sebarang kontak fizikal seperti bersalaman.

11- Sebagai langkah kawalan, para jemaah diminta terus beredar setelah selesai melaksanakan aktiviti pengimarahan di masjid.

12- Aktiviti lain seperti kuliah agama dan ceramah adalah ditangguhkan. Manakala Solat Jenazah yang terdiri dari kalangan petugas dan ahli keluarga terdekat tidak melebihi 12 orang adalah dibenarkan dengan syarat pematuhan ketat kepada SOP. Adalah selain daripada apa yang dinyatakan ini, TIADA sebarang aktiviti perkumpulan dan perhimpunan yang dibenarkan.

13- Pengurusan masjid berhak untuk membuat teguran dan tidak membenarkan kemasukan jemaah yang tidak mematuhi SOP.

Harapan

Di kesempatan ini, saya ingin mengingatkan kepada semua bahawa, segala ketetapan yang terkandung dalam Titah Perutusan ini, memerlukan kerjasama dan keikhlasan dalam melaksanakannya. Pada hemat saya, pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) menggunakan pendekatan yang berbeza daripada pendekatan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. Justeru, rakyat selaku anggota masyarakat bermentaliti kelas pertama dalam tindakan perlu memainkan peranan yang lebih berbanding penguatkuasaan oleh Agensi Kerajaan.

Besarlah harapan saya, agar segala ketetapan yang telah diperkenankan oleh DYMM Tuanku Raja Perlis selaku Raja Pemerintah sentiasa dijunjung dan dipatuhi oleh seluruh rakyat.


MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH

1 KURUN MAIPs (1920): MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH

SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL

D.K., S.P.M.P., P.A.T.

Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia

Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand

Raja Muda Perlis

Yang DiPertua

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis

Termaktub di Istana Arau

02600 Arau

Perlis

Bertarikh : 1 Ogos 2021 bersamaan 22 Zulhijjah 1442H



Aktiviti Kelab PERALIS

{pgslideshow id=16|width=640|height=480|delay=3000|image=L}
Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan portal ini. Paparan terbaik gunakan Google Chrome atau Mozilla Firefox pada resolusi 1024x768 pixel.
Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…