Abridged KEMUDI

TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL:

KEMUDI KEBITARAAN ISLAM DI PERLIS


Seorang pewaris Takhta Kerajaan Perlis telah selamat diputerakan di Arau pada 17 Mei 1943. Baginda telah diperkenankan nama yang bermaksud ‘lentera kejayaan agama’. Ayahandanya adalah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Putra Ibni Tuanku Syed Hassan Jamalullail, Raja Perlis. Bondanya pula adalah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Tengku Budriah Binti Tengku Ismail, seorang puteri Kesultanan Pattani. Tidak lain dan tidak bukan, baginda adalah Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Semenjak awal usia, pendidikan yang diterima oleh Tuanku Syed Sirajuddin membentuk keperibadian baginda serta menyemai rasa kasihkan Agama Islam dalam diri baginda. Memulakan pengajian Sekolah Rendah di Sekolah Melayu Arau, baginda menyambung persekolahan di Sekolah Rendah Wellesley dan Sekolah Rendah Westland yang masing-masing terletak di Pulau Pinang. Seterusnya Penang Free School di negeri yang sama menjadi sekolah menengah pertama baginda. Adapun Wellingborough Public School di England menjadi institusi di mana baginda menamatkan pengajian Sekolah Menengah. Justeru baginda dilatih untuk merantau dan hidup berjauhan daripada keluarga demi menimba ilmu sejak kecil lagi.

Pada 30 Oktober 1960, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah dimasyhurkan sebagai Raja Muda Perlis yang keempat dalam usia 17 tahun. Sebelum daripada baginda, Tuanku Syed Abdullah Ibni Penghulu Syed Harun menjadi Raja Muda Perlis pertama, Tuanku Syed Alwi Ibni Raja Syed Hussein adalah Raja Muda Perlis kedua, manakala moyang baginda Tuanku Syed Mahmud Ibni Raja Syed Saffi bertindak sebagai Raja Muda Perlis ketiga. Ini bermakna Tuanku Syed Sirajuddin menjadi Raja Muda Perlis pertama yang dimahsyurkan dalam kalangan putera kepada Raja Perlis yang memerintah. Sebelum daripada baginda, ketiga-tiga penyandang jawatan Raja Muda Perlis merupakan adinda lelaki kepada Raja Perlis yang memerintah.

Meskipun sudah memakai gelar kebesaran sebagai pewaris takhta, Tuanku Syed Sirajuddin tidak pernah patah semangat untuk menuntut ilmu. Baginda adalah Raja Perlis pertama yang mendapat latihan ketenteraan secara formal dan pernah berkhidmat kepada negara sebagai pegawai tentera. Baginda dilatih sebagai prajurit menerusi Kursus Pegawai Kadet Tentera Darat di Akademi Tentera DiRaja Sandhurst, Britain bermula dari 7 Januari 1964 sehingga 16 Disember 1965. Tamat latihan di Sandhurst, baginda memulakan kerjaya ketenteraan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Oleh yang demikian pada 12 Disember 1965 baginda ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dalam Kor Peninjau DiRaja yang kini dikenali sebagai Kor Armor DiRaja. Bermula di Rejimen Kedua Peninjau di Kem Sungala, Port Dickson, Negeri Sembilan, baginda seterusnya berkhidmat di Sabah pada tahun 1966 dan di Sarawak pada tahun 1967. Pada Disember 1967, baginda dinaikkan ke pangkat Leftenan. Maka semakin zahirlah sifat kepahlawanan, berani membela kebenaran dan tahan lasak dalam diri Tuanku Syed Sirajuddin.

Dalam tempoh berlakunya Konfrantasi dengan Republik Indonesia pada tahun 1965, ayahanda baginda Tuanku Syed Putra Jamalullail menjadi tonggak kekuatan kepada seluruh Malaysia sebagai Yang di-Pertuan Agong ketiga. Dalam insiden yang sama, Tuanku Syed Sirajuddin pula memiliki pengalaman sebenar melalui detik-detik cemas Konfrantasi 1965 sebagai anggota ATM yang telah bersumpah setia untuk mempertahankan kedaulatan negara. Tidak terhad kepada Konfrantasi 1965, baginda terus tabah mengharungi pahit-getir Peristiwa Rusuhan Etnik 13 Mei 1969, serta terlibat untuk mengamankan Darurat Tanah Melayu iaitu pemberontakan Parti Komunis Malaya. Tuanku Syed Sirajuddin menamatkan perkhidmatan ketenteraan baginda di Pahang pada 31 Disember 1969, dengan pangkat Kapten untuk memberikan fokus kepada tanggungjawab sebagai Raja Muda Perlis. Selanjutnya sebagai Raja Perlis kelak, baginda turut dilantik sebagai Kolonel Yang Dipertua Kor Renjer DiRaja pada 19 September 2000.

Potensi dan bakat kepimpinan baginda sememangnya disedari oleh ayahanda baginda. Tuanku Syed Putra telah memperkenankan pelantikannya sebagai Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada tahun 1986. Seperti nama baginda Sirajuddin yang bererti ‘Pelita Agama’ dalam Bahasa Arab, kegemilangan MAIPs terus bergemerlapan di bawah kemudi kepimpinan yang dipegang oleh baginda. Sebagai Tuanku Yang DiPertua MAIPs, baginda amat prihatin dengan peri-penting Islam didaulatkan di Negeri Perlis sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan negeri yang dinamakan Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948. Perkara 5 bagi Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 menegaskan:

“Agama bagi negeri adalah agama Islam Ahlis Sunnah Wal Jama’ah seperti telah diamalkan di dalam negeri

Di bawah teraju Tuanku Syed Sirajuddin sebagai Tuanku Yang DiPertua MAIPs, baginda telah menitahkan takrif Ahlis Sunnah Wal Jamaah tersebut diperincikan.
Oleh itu pada tahun 1989, demi memperjelaskan lagi tafsiran Ahlis Sunnah Wal Jamaah, Jawatankuasa Syariah MAIPs telah mengeluarkan fatwa yang mewartakan:

“Pengertian Ahlis Sunnah wal Jamaah ialah kumpulan orang Islam yang berpegang kepada al-Quran, al-Sunnah dan pendapat para Sahabat yang bersepakat di atas kebenaran yang nyata dari Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w.”

Maka fatwa ini menekankan sifat-sifat Ahlis Sunnah wal Jamaah iaitu pegangan kepada al-Quran, al-Sunnah dan pendapat para Sahabat Rasulullah s.a.w tanpa membataskannya kepada golongan Asyairah dan Maturidiyah sahaja.

Di samping itu, fatwa ini juga menegaskan pendirian MAIPs dan Kerajaan Perlis yang tidak terikat kepada mana-mana mazhab fiqh yang tertentu.
Oleh yang demikian, fatwa ini bersambung dengan teks berikut:

‘Majlis (iaitu MAIPs) tidak terikat kepada mana-mana satu mazhab tertentu. Di dalam       mazhab mana pun yang jelas dan nyata pendapat mereka itu dari Kitab Allah atau Sunnah Rasul-Nya atau Jemaah Sahabat Rasulullah s.a.w. maka Majlis sedia menerima dan beramal dengannya. Adapun mazhab-mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali     pada pandangan rasmi Majlis adalah terhitung di dalam mazhab-mazhab yang muktabar yang tergolong di dalam istilah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Majlis Agama Islam Perlis   memang berpandukan kepada mazhab itu dan mengambil pendapat-pendapat mereka yang ada alasan daripada Al-Qur’an, Al-Sunnah dan Jamaah Sahabat Rasulullah s.a.w”.

Maka jelaslah komitmen ini kepada segenap rakyat Negeri Perlis khasnya dan kepada seluruh dunia umumnya. Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 bersama-sama fatwa yang dikeluarkan pada tahun 1989 dengan titah Tuanku Syed Sirajuddin ini menegaskan bahawa Negeri Perlis tidak terikat kepada sebarang mazhab fiqh. Sebaliknya Perlis bersikap terbuka kepada pandangan sebarang mazhab asalkan memiliki hujah yang kukuh berpandukan Kitab Allah, Sunnah Rasulullah dan jamaah Sahabat Rasulullah.

Sebagai Tuanku Yang Dipertua MAIPs, baginda banyak melakukan usaha-usaha untuk meningkatkan tahap kefahaman dan memartabatkan Agama Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah di Negeri Perlis. Baginda sering berangkat ke majlis-majlis ilmu, seminar dan wacana yang menjadi wadah dan wahana mengangkasakan ilmu-ilmu Islam. Di samping itu, baginda berdamping rapat dengan beberapa tokoh agama bagi menambahkan ilmu dan meluaskan pandangan. Menerusi siri-siri mesyuarat MAIPs, Tuanku Syed Sirajuddin meningkatkan kemahiran untuk mengaplikasikan aspek teori bagi akidah, syariah dan akhlak Islam ke dalam aspek amali dan realiti pentadbiran hal-ehwal Islam.

Kesungguhan baginda yang memegang amanah sebagai Tuanku Yang DiPertua MAIPs mempertahankan ketinggian Agama Islam bersendikan ajaran Ahlis Sunnah Wal Jamaah bersesuaian Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 sentiasa dikenang dan diabadikan. Walau dikritik, didesak dan dikecam oleh pelbagai pihak dari segenap penjuru, Tuanku Syed Sirajuddin tidak pernah berganjak dalam mempertahankan fatwa-fatwa dan keputusan MAIPs. Tanpa mengira baginda berangkat ke mana sahaja, pewaris Takhta Jamalullail ini terus istiqamah berpegang dengan petunjuk Rasulullah SAW dalam iman, ibadah dan keperibadian.

Dengan kemangkatan ayahanda baginda, Tuanku Syed Sirajuddin dimahsyurkan sebagai Raja Perlis pada 17 April 2000. Istiadat pertabalan baginda pula dilaksanakan dengan penuh gilang-gemilang pada 7 Mei 2000. Dengan ini Tuanku Syed Sirajuddin menjadi ketua pelindung tertinggi kepada Agama Islam Ahlis Sunnah Wal Jama’ah. Perkara 6(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948 telah memaktubkan:

‘Ketua agama bagi Negeri ialah Raja dan Raja boleh memerintah supaya dibuat undang-undang…’

Meneruskan kesinambungan legasi Tuanku Syed Putra, pada tarikh 14 Disember 2001 yang bersejarah, Tuanku Syed Sirajuddin telah memperkenankan perlantikan Tuanku Syed Faizuddin Putra sebagai Yang DiPertua. Raja Perlis ini memberikan sepenuh kepercayaan kepada putera sulung baginda untuk melestarikan keteguhan dan kemantapan organisasi MAIPs yang diwarisi daripada baginda. Walau bagaimanapun, Tuanku Syed Sirajuddin terus prihatin dengan perkembangan hal-ehwal Islam di Negeri Perlis dan sentiasa berkongsi hikmah kebijaksanaan baginda dengan Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail adalah Raja berdaulat yang akan terus mengemudi kebitaraan Islam di Negeri Perlis. Dari jumaat ke jumaat, khatib akan melafazkan doa untuk baginda dengan diaminkan oleh setiap rakyat jelata di masjid-masjid seluruh Perlis. Daulat Tuanku, Kekal Perintah Jamalullail!

Oleh:

Dr. Hazman Hassan

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs)

 

 

Aktiviti Kelab PERALIS

{pgslideshow id=16|width=640|height=480|delay=3000|image=L}
Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis tidak akan bertanggungjawab atas sebarang kehilangan data atau kerugian yang berlaku disebabkan penggunaan portal ini. Paparan terbaik gunakan Google Chrome atau Mozilla Firefox pada resolusi 1024x768 pixel.
Top
We use cookies to improve our website. By continuing to use this website, you are giving consent to cookies being used. More details…